Pages

23 November 2010

Kek Cawan Cantik Memikat Selera

PASTI ramai yang gemarkan kek cawan! apa kata gunakan beberapa tip yang saya kongsikan dalam ruangan Dapur Azli Razali Utusan Malaysia Jumaat lepas. Diharap  tip-tip ini dapat membantu anda untuk membuat sendiri kek cawan di rumah. Untuk resipi sila klik di sini

Artikel: Kek Cawan Cantik Memikat Selera
Tarikh: 19 November 2010


PADA kali ini kita akan belajar cara-cara membuat kek cawan. Minggu ini sudah bermula cuti sekolah dan pastinya banyak orang mengambil peluang untuk melangsungkan perkahwinan.

Rupa kek cawan yang comel dan cantik antara faktor kenapa ia menjadi pilihan popular untuk dijadikan sebagai hantaran perkahwinan dan juadah kepada tetamu yang datang.


Selain untuk juadah perkahwinan saya melihat kek cawan turut dijadikan kek untuk hari jadi dan hadiah untuk yang teristimewa.

Ia juga boleh dinikmati pada hari-hari biasa. Kini kek cawan begitu digilai oleh peminat-peminatnya. Anda boleh menyediakan kek cawan ini bila-bila masa sahaja di rumah kerana ia sangat mudah dan cepat disediakan.

Kek cawan merupakan adunan kek yang dibakar di dalam acuan yang berbentuk cawan. Dengan menggunakan ketuhar dan pemukul kek anda boleh menyediakan kek cawan yang enak.

Bagi menyediakan kek cawan, anda memerlukan bekas acuan kertas yang keras. Sekiranya anda menggunakan bekas kertas yang lembut pastikan anda susunkan kertas cawan itu dalam bekas berlubang yang diperbuat daripada besi supaya bentuk kek cawan tidak senget setelah dibakar.

Terdapat pelbagai resipi kek cawan yang boleh anda buat tetapi resipi yang biasa digunakan adalah adunan kek mentega.

Sekiranya anda sukakan kelainan pada kek cawan, anda boleh menambahkan perisa dan ramuan tambahan seperti buah-buahan kering, perisa strawberi atau perisa oren. Ini akan membuatkan tekstur dan rasa kek cawan anda berbeza. Kebiasaannya, kek cawan akan dihiaskan diatasnya dengan aising iaitu krim yang disapu dan dihias di atas kek cawan mengikut kreativiti masing-masing.

Aising ini diperbuat daripada krimwell. Namun, anda boleh menggunakan aising lain mengikut kesukaan anda.

Krimwell merupakan lemak yang berwarna putih dan kelihatan seakan shortening (minyak sayuran) tetapi rasanya lebih sedap dan berlemak daripada shortening. Ianya boleh dibeli di kedai-kedai menjual bahan-bahan membuat pastri.

Krimwell akan dipukul bersama gula aising dan sedikit mentega bagi memberikan rasa manis dan enak apabila anda manyapukannya di atas kek cawan nanti.

Sebelum menggunakan aising, bahagikan krimwell yang dipukul dan letaklah pewarna mengikut kesukaan anda supaya kek cawan yang anda aisingkan itu lebih kelihatan menyelerakan dengan pelbagai warna.

Peralatan yang biasa digunakan untuk menghias kek cawan adalah nozzle dan beg paip. Dengan menggunakan peralatan ini anda boleh menghias atas kek daripada aising dengan pelbagai hiasan seperti bentuk bunga.

Jika tiada peralatan ini anda boleh membeli bahan-bahan hiasan yang sesuai seperti fondant, gula manik atau bunga-bunga tiruan yang boleh dimakan.

Buatlah rujukan melalui buku, majalah atau laman sesawang untuk mendapat idea untuk mencantikkan lagi hiasan kek cawan anda. Percayalah, hasilnya tetap kelihatan cantik.

Masa membakar kek cawan adalah lebih singkat daripada kek biasa iaitu sekitar 20-25 minit dan apabila siap dibakar anda perlu membiarkan ia sejuk dahulu sebelum menyapu aising kerana suhu yang panas boleh mencairkan aising krimwell anda. Selamat mencuba!

3 comments:

DyaLizz Cupcakes berkata...

Trimas share pasal cuppies ni. Nak tanye la..ade x cara nk buat krim yg sedap sebab even krimwell pon rasenye agak muak kan?

Tanpa Nama berkata...

saya dah pernah try dis cute cupcake....buat ikut resipi yg chef ajar tu..tapi resepi tu hilang..klu boleh saya nk blik resipi ni..
rmai yg suke...rasenye sdap...
sya cume ubah sdikit resepinya..
klu boleh tlg tgalkan resipinya d cni...tq!

Unknown berkata...

minta ni gambar k resepi ni untuk bahaan ilmiah