12 November 2010

Hidangan kentang

MINGGU ini saya ingin berkongsi maklumat tentang ubi kentang setelah saya membaca tentang khasiat ubi kentang di Internet. Sebelum dibawa masuk ke Eropah dan Asia, ubi kentang (Solanum tuberosum Linn) yang merupakan tanaman berubi ini mula-mula sekali ditanam di Dataran Andes, Amerika Utara.Terdapat lebih 4,000 jenis spesies ubi kentang. Kumpulan kentang dibahagikan berdasarkan saiz dan kandungan kanjinya antaranya adalah kentang waxy, russet dan Idaho.
Selain membekalkan sumber karbohidrat, kentang mempunyai khasiat lain untuk kesihatan. Fakta menarik daripada gizi.net menyatakan dengan mengambil 200 gram kentang kita dapat memenuhi keperluan vitamin C untuk satu hari. Kandungan kalium dalam kentang pula boleh melegakan hipertensi.
Tip paling penting untuk memilih kentang yang masih segar adalah dengan melihat kulitnya yang masih berwarna cerah dan tidak kusam. Selain itu tiada kesan lubang dan lebam pada permukaan kulitnya. dipicit ia masih keras dan pejal. Elakkan memilih kentang yang telah tumbuh tunas. Kentang yang telah bertunas menandakan ianya sudah tua dan tidak selamat dimakan kerana ia mengandungi racun berbahaya seperti solanine dan chaconine yang boleh menyebabkan pening kepala, sakit perut dan kematian.
Saya mencadangkan agar tunas itu dicungkil jika anda menggunakan kentang yang ditumbuhi tunas. Ini bagi mengelakkan keracunan daripada berlaku. Ubi kentang mengandungi banyak kandungan air sekitar 80 peratus dan mudah rosak jika tidak disimpan dengan betul.
Setelah membeli, keluarkan daripada beg plastik dan simpanlah di dalam bekas yang bersesuaian. Simpan pada suhu bilik dengan persekitaran yang kering, dingin, tidak terdedah kepada cahaya matahari dan mempunyai pengudaraan yang baik.
Ubi kentang yang telah dikupas akan mudah bertukar warna disebabkan enzim ubi kentang akan teroksida pada udara. Oleh itu apabila anda mengupas dan memotong kentang pastikan kentang itu direndam dalam air yang dicampur dengan sedikit garam bagi mengelakkan ia menjadi lebam.
Rasa kentang sememangnya enak dan disukai ramai. Ini membuatkan kentang banyak digunakan dalam berbagai-bagai jenis masakan dan dimasak dengan pelbagai cara. Kentang selalunya akan dijadikan kerepek dan salad. Pasti anda pernah menikmati salad kentang yang direbus dan kemudian digaul bersama mayonis atau mungkin juga anda pernah merasai kentang yang dibakar dan dimakan bersama krim masam dan bacon.
Resipi minggu ini agak unik kerana saya akan mempelbagaikan satu resipi kentang menjadi pelbagai jenis hidangan. Teruja ingin mencuba resipi minggu ini? Apa lagi cubalah!

0 comments: