Pages

14 Januari 2011

Kek keju tanpa Bakar

Ruangan: Dari Dapur Azli Razali
Akhbar: Utusan Malaysia
Tarikh:14 Januari 2011
Resepi: klik disini

RAMAI menggemari keenakan kek keju. Namun tidak semua tahu cara terbaik menyediakannya. Terdapat dua jenis kek keju yang boleh disediakan iaitu kek keju dingin dan kek keju bakar.

Tiga minggu lepas saya ada berkongsi resipi kek keju bakar dengan para pembaca. Pada minggu ini saya kongsikan pula bagaimana untuk menyediakan resipi kek keju tanpa dibakar.
Kek keju dingin menggunakan keju krim (cream cheese) sebagai bahan utama. Ia merupakan sejenis kek yang tidak memerlukan ketuhar untuk membakarnya. Anda hanya memerlukan peti sejuk untuk mengeraskan kek ini.

Apabila membuat kek keju bakar risiko kek retak dan terlebih masak adalah masalah yang biasa dihadapi. Tetapi kek keju dingin tidak akan retak atau terlebih masak.
Inilah keistimewaan kek keju dingin. Walaupun tidak dibakar, anda dapat menikmati rasa kek keju yang enak, berlemak dan berkrim.
Kek keju dingin tidak menggunakan tepung dan telur dalam adunan untuk membentuk struktur kek kerana gelatin yang dicampurkan di dalamnya berfungsi untuk mengeraskannya.

Gelatin merupakan sejenis protein (kolagen) yang diekstrak daripada rebusan tulang, kulit dan tisu haiwan seperti lembu.
Terdapat dua jenis gelatin iaitu kepingan dan serbuk. Serbuk gelatin lebih senang didapati dan mudah digunakan - hanya perlu dicairkan dengan air panas.
Pasti ada antara pembaca yang mempersoalkan sama ada gelatin itu halal atau tidak? Jangan bimbang! Kini anda boleh membeli serbuk gelatin yang halal di pasar raya.

Tip mencairkan gelatin adalah sangat penting. Gelatin perlu dicairkan dengan air panas dan biarkan seketika sehingga gelatin betul-betul cair, licin dan tidak berpasir.
Kemudian apabila ingin mencampurkan dalam adunan kek pastikan dikacau dengan serta merta dan cepat supaya sekata. Jika tidak kek tidak dapat mengeras dengan sekata.
Kek keju dingin perlu disejukkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat jam dalam peti sejuk untuk ia mengeras. Pastikan suhu peti sejuk adalah sekitar 3-5 darjah Celcius dan pengaliran udaranya juga dalam keadaan baik supaya proses untuk kek mengeras tidak menjadi lambat.

Sekiranya anda ingin mempercepatkan proses kek ini menjadi keras apa yang saya cadangkan adalah dengan meletakkan kek ini di dalam peti sejuk beku (freezer) selama lebih kurang 30-40 minit dan kemudian alihkan kek ini ke dalam peti sejuk.

Ini dapat mempercepatkan masa kek menjadi set (keras). Seperti kek keju bakar, anda boleh menggunakan lapisan biskut atau lapisan kek span untuk membuat kek ini.
Biskut perlu dikisar halus dan digaulkan dengan mentega cair. Biskut yang biasa digunakan adalah biskut marie. Anda boleh menggunakan biskut perisa lain mengikut kesukaan anda.

Sebelum anda memadatkan biskut pada acuan, konsistensi biskut yang dicampurkan dengan mentega cair perlulah betul. Untuk menguji konsistensinya adalah dengan menggenggam biskut itu, jika anda boleh mengepalnya itu bermakna konsistensinya telah cukup.
Bekukan sebentar lapisan biskut dan selepas itu barulah dituangkan adunan kek keju di atasnya. Seterusnya keraskan ia dalam peti sejuk.

6 comments:

Fatihah berkata...

salam...sy nk tau la gelatin jenama ape yg halal...smlm p giant jmpe jenama kijang tp ayh sy x bg beli coz xde tnda halal

azlirazali berkata...

anda perlu cari jenama nor

Fatihah berkata...

ok thanks

nurainaan berkata...

terima kasih untuk resepi ni ;)suka sangat2 !

Hanis Zulaikha berkata...

Gelatin kt tmpt sy susah nk cari yg halal...klu d gantikan dgn serbuk agar-agar blh x???

bungasyurga berkata...

sy pun nak tanya yg tu gak^_^