Pages

12 Oktober 2013

Kuah Rojak Buah Kakcikku!

Kadang kala ada juga saya ke pasar malam membeli juadah untuk isi perut yang kebulur nih jadi kesempatan saya berkunjung di pasar malam saya ada terlihat ada orang yang menjual rojak buah di sana dan mungkin pada sesiapa yang berminat untuk berniaga kuah rojak atau rojak buah bolehlah menggunakan resipi kuah rojak yang saya kongsikan minggu ini. Jika tidak menggunakannya untuk sumber pendapatan sampingan sekalipun anda bolehlah membuatnya dirumah untuk dimakan sendiri. Saya harus berterima kasih kepada kakcik saya Puan Sarimah kerana berkongsi resipi ini dengan saya. Apabila merasa kuah rojak yang dibuatnya terus sahaja saya meminta resipinya untuk dibuat sendiri dirumah ternyata rasa kuah rojak kakcik saya ini sungguh sedap sehingga menjilat jari. Kalau tak caya cubalah sendiri! Rojak buah boleh dikategorikan sebagai salad namun kebanyakan lebih gemar mengambilnya sebagai makanan sampingan. Hidangan ini merupakan hidangan yang sihat kerana menggunakan buah-buahan tropika seperti mangga muda,nanas, jambu air dan jambu batu. Semestinya buah-buah ini mampu membuat kita kecur lidah terutamanya mangga muda!. 

02 September 2013

Salad Epal


Salad ini adalah antara salad yang paling mudah nak buat. Selain itu salad ini juga berkhasiat untuk anda kerana buah epal memang kaya dengan pelbagai vitamin antaranya vitamin C dan ia juga mengandungi tinggi antioksida. Kalau tidak takde lah kata-kata an apple a day can keep the doctor away kan?. Oklah apakata kita sihat selalu dengan makan epal!


Bahan-bahan
2 Biji epal hijau
2 Biji epal merah
¾ cawan mayonis
¼ cawan jus limau
Secukup rasa garam, gula dan lada sulah

Cara membuat
 Kupas epal dan potong dadu kemudian campurkan semua bahan dan gaulkan sebati.

Hero Dapur

Bersama pengarah Shuhaimi Lua
Tgh memasak bersama aesar Mustafa
Selesai Shooting
Assalamualaikum & salam sejahtera. Minggu lepas saya sempatlah merakam satu segmen Chef Blogger untuk program masak memasak iaitu Hero Dapur terbitan Tanah Beris Production Sdn Bhd. Segmen ini dihoskan oleh Aesar Mustafa dan Nik Micheal tayangan untuk TV2 dan segmen ini lebih kurang 7-8 minit sahaja. Jadi saya telah menunjukkan satu resipi ringkas dan sihat iaitu roti sapuan kentang lenyek untuk semua penonton rancangan ini. Ok pada mereka yang nak dapatkan resipinya kena tunggu siaran program ini very2 soon dan yang pastinya saya akan war2kan bila program ini akan bersiaran. Saya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pengarah rancangan ini yang berkaliber dan kreatif dan namanya sedang meletup letup naik  sekarang ini iaitu saudara Shuhaimi Lua kerana sudi mengundang saya sebagai chef jemputan, kepada hos Aesar Mustafa dan team produksi yang sangat best!


23 Ogos 2013

Cari Makanan Halal Di Bankok

Saya pernah menulis artikel saya mencari makan ke Surabaya sebelum ini dan banyak sekali maklumbalas yang positif daripada pembaca kerana mereka suka akan konsep tulisan ini. Rentetan daripada itu ada juga yang mencadangkan agar saya berkongsi pengalaman melancong saya  ke tempat lain pula terutama di negara-negara bukan Islam kerana katanya jika saya coretkan pengalaman ke negara-negara seperti  ini ia pasti dapat membantu dan memudahkan mereka untuk mencari makanan halal. Baiklah pada minggu ini apakata saya berkongsi pengalaman saya melancong dan mencari makan ke Bankok Thailand pula. Minggu lepas saya telah ke Bankok Thailand kerana membentangkan kertas kerja. Walaupun baru dua kali saya berkunjung ke negara gajah putih ini namun soal mendapat makanan halal bukanlah masalah besar kerana banyak makanan orang Islam yang boleh anda cari.
Bankok bagi saya adalah kota pelancongan yang tidak pernah mati. Carilah apa saja di sini pasti akan anda temui. Yang paling seronok adalah budayanya yang memang menjadi tarikan utama kepada pelancong. Bukan setakat budayanya yang indah tetapi makanannya juga enak-enak belaka. Satu tip yang suka saya nak kongsikan dengan pembaca adalah jika mahu mencari makanan halal disini anda hanya perlu google dan carilah masjid di kota Bankok kerana dimana ada masjid di situ pasti ada makanan halal.  Kami bertolak ke Bankok daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 5.05 dan perjalanan mengambil masa selama 1 jam 30 minit untuk sampai ke lapangan terbang antarabangsa Don Mueang Bankok.

Lapangan terbang ini adalah lapangan terbang lama sebelum Lapangan terbang antarabangsa Suvarnabhumi dibuka. Sebaik sampai saya terus menaiki teksi ke Jalan Khaosan. Disini ada makanan halal dan malam itu kami makan di restoran Sarah iaitu restoran Lebanon. Keesokan harinya kami ke Pasar terapung Damnoen Saduak yang mengambil masa 1 jam 30 minit  untuk sampai.
Di Pasar terapung Damnoen Saduak 
 Anda perlu ke sini kerana keunikan pasarnya adalah mereka menjaja dalam sampan dan memang sangat teruja melihat suasana pasar disini. Ada satu restoran halal disini yang pemiliknya beragama Islam dan berasal daripada Patanni Thailand.
Makanan Halal di Pasar Terapung
Kami mengambil pakej pelancongan setengah hari yang yang berharga 20 bhat lebih kurang RM 20 kita disini. Petangnya kami kembali ke Jalan Khaosan kerana disini ada beberapa gerai dan restoran halal di sekitar masjid Cakrabongse dan anda hanya perlu menyusuri lorong Trok Surao untuk mendapatkan makanan Islam. Aras tanda yang paling mudah dicari adalah ia berhadapan dengan pasaraya Tang Hua Seng kerana tempat makan ini berada di bahagian lorong dan untuk ke masjid pun anda perlu berjalan melalui lorong ini.

Lorong Trok Surao


Restoran halal di Cakrabongse 
Gerai-gerai disini dibuka seawal 7pagi dan tutup selepas waktu Isyak. Kemudian kami ke Silom pula untuk menginap disini. Tempat makan seterusnya adalah kami menuju ke restoran Cili Padi tidak jauh daripada tempat tinggal kami anda hanya perlu menaiki keretapi BTS ke stesen Surasak dan dengan mudah anda akan sampai dengan pengangkutan BTS kerana restoran ini berhampiran stesen keretapi ini. Restoran ini menyajikan masakan Malaysia. Hari seterusnya adalah mencari makan halal ke lokasi di Jalan Phetchaburi 7
Salah satu restoran halal di Petchaburi
MAKANAN HALAL DI PETCHABURI SOI 7
Antara temnpat shopping popular di Bankok

Membeli belah di pasar Chatuchak

Makanan halal di Restoran Hayati di Petchaburi Soi(Jalan) 7

Restoran Cili padi  di Bankok!
Pasar ini sangat luas dan memang puas hati jika anda membeli belah disini kerana kesemua barangnya dijual dengan harga yang sangat murah. Memang rambang mata di buatnya!. Minggu ini saya kongsikan satu makanan yang saya nikmati disini.

30 Julai 2013

Kek/Apam gula hangus

Berikut saya kongsikan Kek atau apam gula hangus selamat mencuba!

Bahan bahan
2 cawan gula
2 cawan air
5 biji telur
1/2 tin besar susu pekat amnis
2 cawan tepung
125gm butter
2 sudu makan soda bikarbonat
1 sudu teh vanilla essense

Cara-cara penyediaan
  1. Masak gula hingga perang kemudian masukkan air dan kacau sehingga gula sebati
  2. Masukkan mentega/marjerin
  3. Ayak tepung bersama tepung
  4. Campurkan gula dengan vanilla dan susu biarkan sehingga sejuk sebentar..
  5. Kemudian masukkan tepung dan kacau sebati
  6. Bakar dalam ketuhar dengan suhu 180 darjah celsius selama 40 minit.

16 Julai 2013

Bungkusan manis Tropika

Bungkusan Manis Tropika nih sebenarnya cam popiah jer ! Tapi rasa dia manis. Hidangan pencuci mulut nih sebenarnya adalah hidangan segmen ke3 dalam Hidangan Barakah  episod 7 yang bersiaran di TVAlhijrah ok! hehe. Sebenarnya ada cerita disebalik menu nih. Sebenarnya pada masa shoot segmen nih hari tuh sepatutnya bentuknya tak begini . Sepatutnya saya nak bunjut dia macam parcel tapi entah macamana jenis popiah yang disediakan pihak hotel nih, alahai sedih . Jenis yang tak boleh melekat. Serius cuak giler gak biler tenyeh2 taknak lekat adoiii! yelah  sebab benda tengah buat nih kamera tengah rakam. Giler tak cuak! Tapi still kontrol macho lah haha. Jadi oleh kerana nak cover malu yang amat nih saya just gulung dan cucuk dengan pencucuk gigi. Alahai masa rakam pun saya goreng ngan pencucuk gigi tuhsekali  u oll tapi alhamdulillah menjadi. So kalau nak beli kulit popiah belilah kulit popiah yang bagus kualitinya ok. Lagi satu jangan dibiar kat luar lama sangat nanti keringkulitnya, susah nak melekat. Nanti bila tak leh lekat mulalah nak tergelabah kan? akhirnya ambik action buang jer kulit plak nanti. Jangan!!!! tak baik membazir tau. Ia masih boleh diselamatkan dengan cara cam apa yang saya buat. Apa lagi tak nak try ker menu terkejut saya nih! sedap tau kalau tak buat rugi semua main boh jer! senang!

SUP BEBOLA DAGING BIJIRAN

Kali ini saya kongsikan pula resipi  dalam menu segmen kedua Hidangan Barakah Yang bersiaran di TV Alhijrah. Saya suka sup nih sebab berkhasiat . Saya gunakan emping jagung dalam bebola daging so dia tambah fiber dalam sup nih ok! lagi satu saya buat bebola daging sendiri u olll. Daging kisar sendiri! Kalau guna yang mesin sendiri lagi bagus sebab lagi sihat. Yang beli tuh banyak lemaknya nanti sup pun penuh jerr minyak. Habislah nanti diet u olll kan? leh tambah spare tayar kat badan plak nanti. dah tak cun & x berapa nak sihat ok . Jadi seeloknya proses sendiri daging tuh guna pemproses makanan. Oklah taknak bebel banyak apakata anda cuber resipi nih. Yang penting bebola tuh buat comel2 cam saya ok ! hahaha comellah sangatkan? perah santan tua betul! cauu! assalamualaikum!

Ayam bakar oat


Lah jangan susah-susah hati, senang jer buat resipi nih campak2 bohjer bakar dah jadik! Kalau nak guna daging pun boleh tak semestinya ayam jerpun. Baiklah saya kongsikan resipi dalam Hidangan Barakah Episod 7 yang bersiaran di TV Alhijrah. kepada yang terlepas menonton bolehlah ambik resipi nih dan cuber ok!

Hidangan Barakah Episod 7 di TH Hotel Alor setar

Assalamualaikum semua! hari ini apa menu untuk berbuka puasa anda semua?. Apa! kepala sudah jem memikirkannya? ha...ada yang belum set menu apa nak masak? hmmm saya pun sama ahahaha.. Tapi apa2pun kepada yang jem tuh takyah beli roti nak sapu jem.. Saya ada penyelesaiannya. Saya just nak share kat u olls yang petang nih saya akan bersiaran dalam program masakan  Hidangan Barakah . Episod kali ini adalah rakaman yang telah dibuat di Tabung Haji Alor Setar Kedah Darul Aman selaku penaja utama rancangan ini. program ini akan keudara  petang ini di TV Alhijrah ok. Ya.. ya.. ya.. saya tau kul 4petang, ramai yang masih tersadai kat opis kan? lahh... takper.. kalau tersadai kat opis, korang leh tgk online semasa rancangan ini keudara di www.1malaysiaiptv.com.my! No hal nya! apa kat opis pun internet kena sidai tak leh nak tgk. Ish ish2 apalah semua kena block erk. nak tgk benda baik pun kena block gak ker? atau dah lama company tak bayar bil tenet tuh!!! tutttt hahaha. Takper anda masih boleh menonton rancangan ini secara ulangan! jam 12.30 pagi. jangan tidur dulu ok! ha kau! baiknya TV Alhijrah, siap bagi ulangan sebab tak knak kecewakan penonton2 sekalian alam ok! nak bagi korang tengok gak lah tuhkan? hahaha. Oklah saya akan kongsikan semua resipi dalam episod kali ini dalam blog saya nih. Just tgk jer gambarnya ok! kasi besar sikit kalau nak salin silakan, kalau nak copyy pun silakan, kalau nak snap gambar pun suka hati korang lah, cukup bulan bayar royalti  kat I..hahaha. Ish takde lah saya gurau jer, semuanya ikhlas dari hati ini cewah! yang penting korang boleh sebar2kan resipi nih kepada orang lain! Yang lebih penting lagi jangan duk copy jer resipi buat pekasam tapi tak pernah nak cuber! penat eden duk mengedit gambar nih ok! Oklah jangan luper temujanji kita petang ini yer. wah berdating kita u oll wakakaka. Assalamualaikum!

18 Jun 2013

Percutian Ke Surabaya

Dua minggu lepas saya sempat melancong ke Surabaya selama 3 haribersama Editor saji abang Joha dan make up artis terkenal abang Zul Fazli. Pada mulanya saya terpaksa membatalkan percutian saya ini kerana ayahanda saya yang tercinta baru lima hari pulang ke rahmatullah sebelum saya berangkat. Insiden sedih ini telah membantutkan semangat saya untuk bercuti tetapi setelah dipujuk oleh rakan dan ditambah lagi semua tiket dan pakej telah dibayar jadi saya kuatkan semangat untuk terus juga.Tak pergi membazir pula nanti! Tak apalah saya hanya mampu redha kerana Allah lebih sayangkan aruah. Mungkin percutian ini saya dapat tenangkan hati yang sedih ini disamping dapat juga saya membuka mata melihat tempat orang.Yang paling penting pengalaman percutian saya ke Surabaya dapat saya kongsikan bersama pembaca setia ruangan ini. Surabaya memang satu tempat percutian yang menarik. Surabaya merupakan Bandar kedua terbesar selepas Jakarta. 
 Surabaya bermaksud buaya dan ikan jerung dalam bahasa jawa kerana legendanya kedua binatang ini pernah bergaduh berebut Surabaya. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat di Surabaya antaranya jawa, Madura, Sunda, Batak, Banjar, Minangkabau dan Bugis. Jadi kehidupannya memang dekat dengan kita di Malaysia terutama yang ada pertalian darah dengan kaum masyarakat ini maklumlah kita ini serumpun. Penerbangan ke Surabaya mengambil masa 2jam 30 minit dan kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya jam 11 pagi. Kami terus menuju ke kampong Monopoloh di Bandar Malang kerana menghantar pembantu rumah teman saya ke sana untuk meraikan majlis perkahwinan anaknya. Kami telah melewati satu kawasan banjir lumpur yang telah menenggelamkan sebanyak 16 buah kampung. Banjir lumpur panas Sidoarjo atau Lumpur Lapindo adalah peristiwa penyemburan lumpur panas di lokasi penggalian PT Lapindo Brantas di desa Renokenongo, Sidoarjo sejak 27 Mei 2006 Kawasan ini telah dibina tembok yang tinggi juga supaya lumpur tidak sampai ke jalan raya. Dikatakan pada mulanya kawasan ini dirancang untuk menggali minyak tetapi kerana kecuaian pihak berwajib maka berlaku kecelakaan sehingga tersembur banjir lumpur. Perjalanan mengambil masa 4 jam untuk sampai ke kampong bibik teman saya yang saya panggil bah saja. Jauh juga rumah bah nih sampai naik lenguh buntut. Tapi apabila sampai dikampungnya saya teruja melihat kehidupan kampungnya. 
  Yang paling menarik dapurnya masih lagi tradisional iaitu dibuat dari lumpur dan menggunakan kayu api. Best giler! Setelah selesai makan malam di rumah Bah Kami bermalam Grand Palace Hotel di Malang. 
Pelbagai Jenis Kuih . Enak bangat!
 Hari kedua pula kami sempat singgah di pasar pagi kota Malang dan disini saya sungguh teruja kerana pelbagai makanan tradisi orang Surabaya terutamanya masyarakat  Jawa yang tidak pernah saya nampak dan rasa saya temui di sini seperti tape bakar,dawet, lumpur dan leker dan macam-macam lagi. Yang paling seronok adalah melihat tempe yang dijual di pasar ini.Macam2 jenis dan bentuk tempe ada dijual disini.
Pelbagai tempe dan tauhu

 Selepas itu kami ke daerah batu Malang menuju ke Kusuma Agro Wisata  sebuah kawasan tanah tinggi yang terkenal dengan penanaman epal. Tetapi malangnya musim buah epal adalah pada bulan Ogos. Kami berasa sedikit kecewa tetapi kami sempat memetik limau di ladang ini. Kami hanya dibenarkan memetik 2 biji limau ajer! Jadilah dari pada takde kan?
Di Ladang Epal!
Selain buah-buahan sayur sayuran turut ditanam di ladang seluas 70 hektar ini. Sebelum berangkat kami disajikan dengan jus dan puding guava merah.
Mmmm sedap betul rasanya! 
Jus Guava dan puding Guava merah. Yummy!

  Selepas itu kami ke air Terjun Coban Rondo. Air terjun yang setinggi 84 meter ini tersimpan cerita legendanya iaitu seorang puteri telah menjadi janda di air terjun yang menunggu kepulangan suaminya yang telah mati mempertahankannya dari gangguan seorang jejaka.
Ini kes cinta sinetron, jantan ngorat bini orangler! Cis bedebah kau! Jantan x guna! Hehe. Setelah kejadian itu air terjun ini dinamakan Coban(air terjun) Rondo (janda) dalam bahasa jawa.
Setelah itu kami menuju ke lokasi seterusnya iaitu Gunung Bromo  yang terletak di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, di timur kota Malang. Kami tidur satu malam disini. Kawasan ini sejuk yang amat jika di bulan Ogos dan suhu boleh mencecah 2 darjah Celsius. Pada malam tuh suhu hanya 10 darjah Celsius jer. Itu pun dah berasap asap mulut bila bercakap! Gunung Bromo (dari bahasa Sansekerta atau Jawa Kuna adalah Brahma, salah seorang Dewa Utama Hindu), merupakan gunung berapi yang masih aktif dan paling terkenal sebagai kawasan pelancongan di Jawa Timur.Tidak lengkap kiranya kalau berkunjung disini jika tidak melihat panorama matahari terbit.
Melihat sunrise di Gunung Penanjakan
Orang melihat sunrise di Gunung penanjakan
 
 Seawal jam 3 pagi kami telah bangun menuju ke gunung Penanjakan dengan menaiki kenderaan Jeep Pacuan 4 Roda. Suhu di di sini sungguh sejuk iaitu sekitar 10 darjah Celsius.  Jalan menuju naik ke gunung ini berliku-liku dan sangat tajam. Ianya berbahaya jika tidak berhati hati. Macam Camel troffi rasanya masatuh! hehe. Untuk sampai ke sini perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja. Apabila sampai di puncak penanjakan kami sempat pekena kopi panas tapi lepas 5 minit kopi dah jadi kopis dingin sebab suhu sejuk di atas puncak nih! Matahari mula terbit jam 5.15 pagi dan saat itu semua orang sungguh teruja termasuk saya apabila dapat melihat kecantikan matahari terbit ciptaan Tuhan! Saujana mata memandang! Dari sini kita boleh melihat gunung Bromo, gunung Semeru dan gunung Batok. Selepas 2 jam kami menuruni gunung penanjakan dan menuju ke savannah di kaki Gunung Bromo.
Savannah di kaki di Gunung Bromo. 

Gunung Bromo merupakan kawah gunung berapi yang masih aktif. Kali terakhir gunung ini meletus adalah pada tahun 2011. Kawasan ini digelar lautan padang pasir kerana dilitupi oleh belerang gunung berapi dulu dan hanya rumput dan lalang sahaja yang tumbuh. Disini ada tempat menarik lain antaranya padang pasir yang digelar pasir berbisik. Ia dikatakan pasir berbisik kerana pada Bulan Ogos merupakan musim angin kuat dan apabila pasir ini ditiup ia akan mengeluarkan bunyi seperti psst psst psst kerana pasirnya bergesel antara satu sama lain apabila angin bertiup.  Menarikkan? Tempat ini juga pernah dijadian lokasi filem Pasir Berbisik lakonan hebat Dian Sastrowardoyo dan Chritine Hakim. Walaupun untuk sampai ke sini dalam 20 minit tapi saya tak sempat nak pergi ke paasir berbisik ini, maybe next trip pasti saya akan pergi.



Permandangan Gunung Bromo dari bawah


Permandangan Gunung Bromo dari lokasi hotel kami

Hari Ketiga adalah peluang kami membeli belah sakan di Kota Surabaya! sebelum itu kami singgah di Muzium rokok Sempoerna. Rupernya ada makna sempoerna iaitu sempurna dalam kehidupan. adoiii isap rokok tuh sempurnaker?
Bukankah merokok itu memberbahayakan kesihatan? apa2 pun muzium ini best sebab ada sejarahnya yang tersendiri dan yang paling  cool sebab leh shopping dalam tuh! saya bukan shopping rokok tapi shopping bajunya. Tapi pada mereka yang nak shopping rokok dia ada kilang dia yang boleh anda beli sakan. Sukerlah saya nak memberi nasihat bahawa rokok merbabahayakan kesihatan hehe! Kami juga sempat berkunjung ke muzium kapal selam di sini. Terasa macam askar tentera laut pula bila kat dalam kapal selam nih! terbaboom! Kami juga ambil peluang pergi ke Pulau Madura dan membeli belah kain batik Madura.
Dalam Kapal selam Pasopati 410
 

Shopping!

Sebelum ke airport nak balik kami singgah ke restoran IBC dan kami sempat mencuba pelbagai jenis sup di restoran ini seperti soto, dan sup rawan. Memang layan habis! 
Antara makanan Surabaya yang kami nikmati!

 Oklah kepada pembaca sekalian, jika ke Surabaya jangan lepaskan peluang membeli batiknya yang memang cantik-cantik sampai rambang mata dibuatnya dan dan yang pasti jangan tidak mencuba makanannya yang enak-enak sekali. Minggu ini saya kongsikan satu makanan yang sangat popular di Surabaya iaitu Pecel Lele yang bermaksud ikan sambal.

16 Jun 2013

Aiskrim pagaran Coklat


Bahan-bahan
1.5 liter aiskrim vanilla
1.5 liter aiskrim coklat
42 batang biskut coklat Kit Kat
210gm bebola Coklat
Acuan  kek 8inci x 4inci x 4inci
1 keping kek span 8inci x 4inci x2cm
Pembalut makanan(pastic wrap)
Cara membuat
  1. Lapikkan acuan kek dengan pembalut makanan dan lebihkan plastik itu 5 inci diluar acuan.
  2. Susunkan disekeliling acuan dengan biskut coklat Kit Kat. Coklat yang lebih hancurkan kasar-kasar.
  3. Lapisan pertama di acuan padatkan dengan aiskrim coklat. Jika ia cair bekukan sebentar dalam 1-2 jam.
  4. Kemudian lapiskan dengan kek.
  5. Selepas itu taburkan atas kek dengan coklat yang telah dihancurkan.
  6. Untuk lapisan seterusnya padatkan aiskrim vanila dan tutup dengan plastik yang lebih kemudian bekukan selama 8 jam atau semalaman sehingga keras.\
  7. Keluarkan aiskrim dari acuan dan tanggalkan pembalut makanan.
  8. Hiaskan atasnya dengan bebola Coklat






Kek Aiskrim

Baiklah pada minggu ini saya akan berkongsi satu resipi kek aiskrim. Sebenarnya ada cerita di sebalik resipi saya pada minggu ini. Sepatutnya resipi ini saya cipta untuk sebuah syarikat makanan yang terkemuka di Malaysia ini. Mereka mahu saya mencipta 3 resipi kek aiskrim menggunakan produk aiskrim syarikat ini untuk promosi hari raya nanti. Ciptaan ini adalah untuk mempromosikan aiskrim syarikat ini dan kek aiskrim merupakan satu pilihan yang orang ramai boleh buat daripada aiskrim sebagai salah satu hidangan segar untuk hari raya. Jadi menikmati aiskrim cara yang lama dapat dipelbagaikan dengan lebih kreatif dan tidak membosankan. 
 Apabila mendapat tawaran ini saya sangat teruja dan dengan semangat teruja itu saya telah membuat eksperimen dan cubaan resipi sebelum resipi saya dicuba rasa oleh kakitangan syarikat aiskrim ini yang bertanggungjawab. Namun malangnya setelah segalanya dipersetujui pada saat saat-saat akhir projek ini terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab kos daripada syarikat katanya. Tetapi tidak mengapa saya masih ada lagi pembaca setia dalam ruangan ini yang boleh saya kongsikan resipi ini. Baiklah membuat kek aiskrim ini mungkin sesuatu yang baru bagi sessetengah daripada anda untuk membuatnya tetapi saya percaya ia tidaklah asing kerana kek aiskrim ada saja dijual di kedai aiskrim seperti Baskin Robin. Satu dalam kepala kita kek aiskrim mudah cair dan itu yang menjadi kesukaran didalam fikiran untuk tidak membuatnya. Takper apakata saya kongsikan cara membuatnya. Kek aiskrim bukanlah aiskrim yang dibakar didalam ketuhar  tetapi Sebenarnya kek aiskrim adalah aiskrim yang dibentukkan dalam acuan kek dan kemudian dibekukan semula. Setelah keras ia akan dikeluarkan dan bentuknya seperti sebiji kek kerana menggunakan acuan kek. Anda boleh gunakan sebarang jenama aiskrim. 
  Membuat kek aiskrimmemerlukan kepantasan. Ais krim perlu dipadatkan dalam acuan dengan pantas supaya aiskrim tidak menjadi cair. Sebelum itu anda perlu mengalas seluruh acuan kek anda dengan plastik pembungkus makanan yang lebih dikenali sebagai ‘plastik wrap’ bertujuan supaya kek anda senang untuk dikeluarkan tetapi pastikan plastik itu dilebihkan dalam 5 inci di luar acuan supaya anda mudah untuk menarik aiskrim yang telah dibekukan itu.      Biasanya, aiskrim kek menggunakan kek span sebagai lapisan di tengah atau diluar aiskrim. Ada juga yang mencampurkan bahan-bahan sampinagn lain seperti kek, kacang dan mashmallow yang dihancurkan dalam aiskrim sebelum dipadatkan. Gunakan pelbagai perisa aiskrim untuk melapiskan aiskrim jika mahu. Ingat jika mencampurkan bahan-bahan jangan biarkan aiskrim itu cair tetapi cukup membiarkan ia lembut sahaja. Setelah selesai sejukkan aiskrim semalaman dan setelah itu keluarkan untuk dihidangakan. Aiskrim kek minggu ini saya menggunakan coklat kit kat sebagai lapisan luaran dan ditengah-tengah dan juga kek span. Untuk resipi sila klik disini

28 April 2013

Peluang kumpul Resipi

Bulan ini merupakan bulan yang sangat sibuk bagi saya. Mana tidaknya sepanjang dua minggu ini saya perlu menyediakan menu untuk puasa dan hari raya untuk dua buah majalah kesayangan ramai iaitu SAJI dan i Sihat.  Saya memang biasa bekerja sama dengan kedua-dua majalah ini. Selain beberapa majalah lain juga. Ramai yang bertanya bagaimana saya boleh terlibat dalam penulisan dan berkongsi resipi di majalah. Sebenarnya ia bermula dari blog saya. Hobi saya yang gemar menulis dan berkongsi resipi di blog telah dapat dihidu oleh Syikin seorang wartawan majalah i sihat. Dari majalah i Sihatlah semuanya bermula. Begitulah ceritanya bagaimana saya boleh melibatkan diri dalam majalah. Kemudiannya saya diperkenalkan dengan majalah-majalah yang lain seperti Saji dan WANITA. Jadi aktiviti dan ukhuwah saya dengan majalah memang tidak pernah putus dan sepanjang dua minggu yang lepas saya sekali lagi diberi kesempatan  untuk menyumbangkan resipi bersama pembaca tetapi untuk edisi keluaran puasa dan hari raya. Kebetulan pada minggu pada waktu itu saya pula telah habis kuliah untuk pelajar-pelajar diploma dan memang sesuai sangat untuk saya menyediakan resipi dan menu bagi sesi fotografi bersama media.
        Oh ya, sebelum saya terlupa. Jangan lupa mendapatkan SAJI keluaran MEI edisi hari ibu kerana pengenalan ruangan saya yang baru ada di situ. Saya kini mempunyai ruangan menulis sendiri di dalam majalah SAJI. Alhamdulillah hobi menulis dan berkongsi resipi saya dapat di kembangkan dalam majalah ini. Ruangan saya itu diberi nama Chill… La bersama Azli Razali. Anda berpeluang membaca tulisan saya dalam ruangan itu setiap bulan bermula keluaran Jun nanti. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada editor SAJI yang saya panggil abang Joha dan semua pasukan SAJI amnya kerana memberi peluang dan percaya dengan kebolehan menulis saya untuk berkarya dalam ruangan saya itu. Jangan ketinggalan dapatkan edisi berkenaan ok!. Mungkin anda rasa sedikit janggal kerana minggu ini saya tidak berceloteh pula tentang makanan bukan?  Janganlah anda berasa begitu. Sengaja saya ingin larikan sedikit konsep tulisan saya yang biasa. Saya telah menulis dalam ruangan Dari Dapur Azli Razali ini selama hampir tiga tahun dan bermacam-macam topik saya kongsikan tentang makanan  tetapi pada minggu ini saya berasa ingin berkongsi dengan anda apa aktiviti saya yang telah saya lakukan pada bulan ini bersama majalah. Saya tahu banyak pembaca ruangan saya ini suka mengumpulkan resipi yang saya kongsikan jadi  janganlah  risau sebab saya tetap akan kongsikan resipi istimewa dengan semua pembaca-pembaca. Celoteh aktiviti saya ini cuma untuk memberikan sedikit kelainan dari penulisan saya yang biasa . Tidaklah anda berasa bosan dengan bentuk tulisan saya yang lebih kurang serupa.  
       Untuk majalah SAJI edisi keluaran puasa nanti, wartawan dan jurugambar SAJI telah turun padang ke rumah saya di Pulau Pinang untuk sesi fotografi sebanyak 10 jenis menu berbuka puasa dan 10 jenis biskut untuk hari raya nanti. Saji akan mengeluarkan edisi khas bumper untuk biskut raya nanti. Belilah edisi bumper biskut raya. Pasti anda akan rugi jika tidak mendapatkannya. Sepanjang minggu itu juga saya berkesempatan untuk membuat sesi fotografi untuk hari raya dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersama chef selebriti terkenal Chef Kamarul yang merupakan teman sekerja saya juga. Pelbagai aksi mood hari raya yang dapat anda saksikan dalam majalah itu nanti. Saya juga berkesempatan menjalankan sesi fotografi untuk ruangan saya Chill.. la bersama Azli Razali di majalah SAJI. Jika ingin tahu lebih lanjut apa aktiviti yang telah saya lakukan untuk tema makanan laut pada bulan Jun nanti, bolehlah dapatkan di pasaran nanti majalah Saji ini! Aktiviti fotografi menu saya bersambung di Nilai dan Bangi seminggu kemudian setelah saya balik bercuti dari Tioman dimana 6 lagi menu istimewa hari raya untuk majalah SAJI telah saya lakukan. Ada beberapa menu yang telah saya ubahsuai agar selera hari raya anda nanti ada kelainannya. Untuk majalah i Sihat pula saya telah mengolah 5 menu buka puasa yang berasaskan sup dan 5 hidangan hari raya yang berasaskan biji-bijiran. Sudah pastinya menu-menu ini menyihatkan sesuai dengan konsep majalah i Sihat. Itulah antara-aktiviti yang telah saya lakukan pada bulan ini untuk persediaan puasa dan hari raya bersama dengan pembaca nanti. Untuk resipi minggu ini saya akan kongsikan satu resipi istimewa. Selamat mencuba!

27 April 2013

Kudap-kudap kacang pecan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa kabar u olll! Sihat2lah hendaknya!Kali ni saya nak share satu resipi kudap-kudapan yang agak menarik untuk kita buat di rumah. Nak tau saya dapat resipi nih kat mana? Biasalah, saya dapat resipi nih kat mana lagik kalau tidak dalam kelas masakan saya bersama student2.  Hari tuh depa buat menu nih untuk kelas komersial!  pastuh saya makanlah sebutir. Mula rasa-rasa, pastuh makan.. makan punya makan tak bleh berenti plak.. sebab sedap. Itu lah penangan kudap2pan ini kalau nak tau! Terus done2 tuh jugak saya suwuh student saya tuh sukat resipi dia jadi standard resipi dan ini lah hasilnya. Untuk buat kudap-kudap nih petua dia adalah bila masak gula tuh dia kena bagi likat sebab kalau tak likat nanti bila kita bakar dalam oven gula tuh tak set dan tak garing. Dia macam kita buat gula untuk kuih keria. 
     Sapa yang pernah buat kuih keria taulah gula dia nak masak sampai camana. Tapi kalau mereka yang tak biasa tuh pastikan gula tuh masak jadi pekat dan buble dia perlahan jer, itu tanda dia dah masaklah gulanya. Mungkin ada yang pelik dengan serbuk cili cayenne tuh kan? maklumlah tak pernah dengar katernya! ishh jangan pelik sangat lah, cayenne tuh adalah jenis cili yang dipanggil Cayenne. So kalau tak jumpa kat pasaraya, guner jer serbuk cili kita yang biasa tuh. habis citer! tapi jangan wisaulah, ada jer jual serbuk cili cayenne tuh yang penting rajin2kan mata korang tuh  meliar carik serbuk nih.hehe! Saya harap anda boleh cuber resipi ini ok! Oklah saya nak sambung makan kudap-kudap nih tak boleh tahan dah nih kang taip panjang2 rugi plak nanti kudap-kudap nih kena bedal plak nanti, nyesal  . Salam semua... cau!

Bahan-bahan
1 cawan kacang pecan
10 sudu besar air
10sudu besar gula
1/2 sudu kecil serbuk cili cayenne

Cara membuat

  1. Masak air, gula dan cili sehingga pekat dan likat kemudian matikan api. 
  2. Masukkan kacang pecan dan gaul.
  3. Alihkan dalam dulang dan jarak-jarakkan kacang pecan
  4. Bakar dalam ketuhar dan bakar dengan suku 170darjah celsius selama 8 minit.

09 April 2013

Kek lobak merah



Bahan-bahan
250gm mentega zaitun/mentega biasa
200gm gula kaster
5 biji telur gred B
180gm parutan lobak merah
1 sudu teh esen vanilla
1 biji oren-parut kulit dan ambil jusnya
60gm kismis
50gm serbuk kacang hazel/badam
70 gm badam cincang/walnut  yang dicincang
260gm tepung naik sendiri


Topping
Bahan-bahan 
200gm keju krim
½ - ¾ cawan krim putar
¾ cawan gula aising


Cara membuat
  1. Pukul mentega dan gula sehingga kembang.
  2. Masukkan telur satu persatu dan kacau sebati.
  3. Masukkan lobak merah,esen vanilla,kismis kulit oren dan jus oren. Kacau sebati.
  4. Kemudian campurkan kismis dengan serbuk kacang hazel, kacang dan tepung
  5. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit di dalam adunan dan kacau sebati.
  6. Masukkan dalam acuan 11inci yang telah disapu dengan sedikit mentega dan bakar dalam ketuhar dengan kepanasan 180 darjah Celsius selama 30minit atau kek tidak melekat pada pencucuk apabila dicucuk.
  7. Untuk   menyediakan topping: Kacau semua bahan-bahan topping sehingga sebati.
  8. Bolehlah disapu atas kek yang telah sejuk.

Lobak merah dalam kek



JIKA anda mengatakan lobak merah tidak sesuai membuat kek semestinya anda silap kerana pada minggu ini saya akan menulis tentang kek  lobak merah.  Kek lobak merah menggunakan parutan lobak merah sebagai bahan utama yang dicampurkan dengan adunan kek dan resipi yang saya kongsikan ini sungguh kaya dengan lobak merah dan apabila anda menikmatinya anda akan merasai kelembapan kek ini bersama kacang dan kismis. Menggunakan lobak merah akan menghasilkan kek yang padat dan lembab disamping ia juga akan memberikan warna dan tekstur yang  berbeza. Inilah yang membuatkan kek ini berasa sungguh istimewa. Pasti anda tidak dapat melupakan keenakan kek ini selepas menikmatinya. Mungkin menggunakan lobak merah kedalam kek kelihatan sedikit pelik namun lobak merah yang anda parut akan menjadi lembut dan masak bersama kek ketika ia dibakar didalam ketuhar. Terdapat pelbagai resipi kek lobak merah yang boleh anda cuba dan ada pelbagai juga cara bagaimana untuk membuatnya. Ada resipi yang mecampurkan semua sekali bahan-bahan tanpa memukul mentega terlebih dahulu. Selalunya resipi yang mencampurkan semua bahan  itu adalah menggunakan minyak sayuran dan tidak menggunakan mentega.
     Tekstur kek lobak merah adalah padat, berat dan kasar. Tekstur kek ini menghampiri tekstur muffin dan ia berbeza daripada tekstur kek yang biasa. Bahan lain yang biasa digunakan dalam kek ini adalah seperti nanas, kekacang seperti walnut dan badam. Kek lobak merah boleh dimakan begitu sahaja atau kek ini boleh disapu dengan aising atau topping seperti buttercream dan krim manis. Namun kebiasaannya kek lobak merah akan disapukan dengan topping daripada keju krim  yang dipukul bersama gula aising. Topping krim keju adalah topping yang sangat sesuai dimakan dengan kek lobak merah kerana rasa topping ini dapat menambahkan keenakan kek ini. Kek lobak merah yang diperbuat daripada minyak sayur dan dimakan tanpa topping berlemak sememangnya lebih sihat. Selain itu ia juga sihat kerana mengandungi fiber daripada lobak merah. Kismis yang digunakan dapat mencergaskan minda. Kek lobak merah sungguh popular dibakar menggunakan acuan kek berbentuk empat segi tepat tetapi anda bebas menggunakan apa-apa sahaja bentuk acuan yang anda suka seperti bentuk bulat atau dibakar dalam acuan kek cawan. Asal usul kek lobak merah tidaklah jelas sebenarnya. Ada yang mengatakan ia bermula pada zaman pertengahan dahulu kerana ketika itu harga pemanis sangat mahal maka mereka menggunakan lobak merah yang berasa manis sebagai pengganti pemanis untuk membuat pencuci mulut. Ada juga sumber tidak jelas mengatakan ia berasal daripada Norway. Sumber lain juga mengatakan ia mula popular di Britain semasa perang dunia ke-2. Resipi yang saya kongsikan ini agak menarik kerana saya menggunakan mentega buah zaitun yang tidak mengandungi kolesterol. 
     Menggunakan mentega buah zaitun membuatkan kek ini lebih sihat berbanding menggunakan mentega yang  biasa. Ia mudah dibeli di pasaraya. Walaupun harga mentega ini sedikit mahal tetapi apasalahnya jika berbelanja lebih untuk kesihatan kita sekeluarga kita bukan? Anda boleh gunakan sebarang jenis kekacang yang anda suka seperti walnut, pecan dan sebagainya. Untuk memarut lobak merah, gunakan bahagian pemarut yang kasar untuk memarut lobak merah itu. Saya sertakan sekali resipi topping yang menggunakan keju krim tetapi pada mereka yang inginkan ia lebih sihat nikmatilah kek lobak merah ini begitu sahaja dan tidaklah perlu membuat toppingnya. Jika anda ingin topping yang lebih pekat kurangkan menggunakan krim jadi ia tidaklah begitu cair. Gunakan gula aising untuk membuat topping keju ini dan jangan menggunakan gula kaster kerana gula kaster akan membuatkan tekstur topping keju anda berasa  berpasir. Biarkan kek sejuk dahulu sebelum anda menyapu topping. Jadi cubalah resipi kek lobak merah ini. selamat memcuba! Klik di sini untuk resipi

27 Mac 2013

Enaknya Crepe Durian!


Lempeng bukan lah suatu makanan yang asing di negara ini. Selain lempeng panggilan yang sungguh popular adalah crepe. Crepe sebenarnya berasal daripada Switzerland dan crepe Suzette adalah lempeng yang paling popular daripada negara yang memang terkenal dengan pelbagai jenis pemanis mulut dan coklat. Crepe Suzette adalah lempeng kosong yang disajikan bersama buah buahan, lempengnya akan dimasak dengan alkohol dan buah-buahan dengan teknik masakan yang dipanggil Flambe. Saya mula mengenali  lempeng pada usia kanak kanak lagi  dan pada ketika itu juga pelbagai versi lempeng yang saya rasai  seperti  kuih ketayap atau adunan lempeng yang dicampurkan dengan isi  kelapa parut atau lempeng kosong yang dimakan bersama kuah kari. Saya masih ingat lagi ketika waktu saya sekolah rendah dan masih kecil. Ketika itu saya tinggal bersama nenek dan nenek saya sering membuat lempeng kelapa dan membuat kuih ketayap disajikan sebagai sarapan pada waktu dan juga turut dibekalkan dengan kuih ini ke sekolah. Pada minggu ini saya akan menulis tentang lempeng atau crepe. Topik ini menjadi pilihan saya pada minggu ini kerana fenomena kesukaan ramai orang terhadap crepe durian iaitu sejenis pencuci mulut durian menjadi suatu kegilaan. Durian crepe telah lama popular dan banyak di jual di merata tempat tetapi minggu ini saya akan berkongsi sedikit maklumat tentang juadah lempeng dan bagaimana ingin menbuat crepe yang terbaik. Crepe durian sebenarnya makanan yang diperbuat daripada kulit lempeng yang didalamnya diletakkan dengan inti krim durian. Ia tidak banyak berlainan dengan lempeng yang biasa kita nikmati dari segi cara pembuatannya kerana adunannya masih diperbuat daripada tepung  dan telur walaubagaimanapun kulitnya perlu lah nipis. Saya tahu durian merupakan buah yang bermusim dan agak sukar untuk membuat crepe durian ini jika ianya diluar musim buah durian. Tetapi seperti  yang saya beritahu crepe ini boleh kita pelbagaikan dan tidak cuma terhad kepada menggunakan durian ssahaja sebagai isinya. Kita boleh mengolah menggunakan apa-apa sahaja inti yang sesuai untuk dicampurkan dengan krim seperti buah pic, strawberi, blueberry atau pisang. Terserah kepada anda jika ada buah-buah lain yang anda suka tetapi pastikan ia mestilah sesuai. Anda juga boleh mencampurkan dengan perasa tambahan seperti coklat, karamel atau sebarang jenis perasa tiruan.
     Menggunakan selain buah durian sebagai intinya juga amat sesuai terutamanya pada mereka yang memang tidak suka rasa dan bau durian yang dianggap kuat dan kurang enak. Bagi mereka yang gemarkan dengan durian sudah semestinya bukan suatu masalah yang besar malah dianggap lebih sedap jika menggunakan durian. Untuk membuat crepe tidaklah sesusah mana kerana peralatan yang diperlukan sangat minimal. Cuma yang agak sukar adalah teknik anda membuat dan memasak crepenya sahaja. Adunan crepe perlu dimesin dan ditapis agar adunannya halus. Jika tidak betul tekniknya permukann lempeng anda tidak menjadi rata dan nipis seperti yang sepatutnya. Tahap kemasakan juga perlu diberi perhatian kerana jika ia terlebih masak anda sukar untuk melipat crepe anda dan yang paling ketara sekali ia tidak boleh terlebih masak kerana warna permukaannya akan menjadi tidak cantik selepas anda melipat crepe anda.
      Kuali yang anda perlukan adalah jenis kuali tidak melekat iaitu ‘non stick pan’ yang bersaiz 8-10 inci.  Kuali ini sangat sesuai untuk membuat crepe kerana crepe yang anda buat tidak akan melekat.  Gunakan api yang sederhana supaya lempeng anda masak dengan cantik. Untuk intinya krim yang paling sesuai adalah jenis topping cream atau krim yang digunakan sebagai aising kek. Ia adalah jenis krim bukan tenusu yang diperbuat daripada minyak sayuran dan senang dibeli di pasaraya.  Rasanya lebih enak berbanding dengan krim putar biasa. Selepas  ia dipukul terpulanglah pada anda untuk meletakkan apa sahaja perisa seperti durian dan sebagainya. Jadi kepada penggemar-penggemar crepe bolehlah mencuba resipi crepe durian yang saya kongsikan ini. Ingat! Pelbagaikan perisa intinya jika anda sukar mencari durian ketika ini! selamat mencuba! Untuk resipi klik sini