Tarikh:30 Disember 2011
ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera kepada semua pembaca ruangan ini. Dua hari lagi kita akan melangkah ke tahun 2012. Apabila tiba hujung tahun sahaja pasti ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan majlis keraian.
Lebih-lebih lagi ketika ini kita masih lagi dalam suasana cuti sekolah dan keraian yang paling menonjol orang buat adalah majlis perkahwinan.
Majlis yang diuruskan pasti meriah dengan acara menjamu makan dan memberi buah tangan. Sesetengah orang pasti akan berasa majlis tidak lengkap jika tidak dibekalkan tetamu dengan buah tangan, betul tak?
Kali ini saya ingin bercerita tentang amalan menjamu dan memberi buah tangan kepada tetamu.
Memang sudah menjadi kemestian tidak kira majlis itu kecil-kecilan atau besar orang akan bercakap tentang makanan yang disajikan. Tidak terkecuali topik buah tangan. Ia juga turut akan menjadi cerita jika ada buah tangan dibekalkan.