Artikel: Dari Dapur Azli Razali
Akhbar: Utusan Malaysia
Tarikh: Jumaat 17 Disember 2010
Untuk resipi klik link di sini
KETIKA bercuti baru-baru ini, saya sempat membuat piza untuk santapan keluarga di kampung, jadi saya fikirkan eloklah saya berkongsi bagaimana hendak membuat piza dengan anda. Piza dikategorikan sebagai sejenis roti leper. Rasanya yang enak dan boleh dipelbagaikan rasanya membuatkan makanan Itali ini sungguh digemari.
Teknik membuat piza adalah seperti membuat roti biasa, yang membezakannya adalah bentuk rotinya yang leper dan ada topping di atasnya. Bahan asas untuk membuat roti piza tepung roti, yis dan air.
Tepung roti adalah tepung yang mengandungi protein yang tinggi iaitu gluten. Gluten yang tinggi membantu yis untuk mengembang dan membiak bagi menghasilkan kekenyalan pada roti piza.
Yis digunakan untuk menaikkan roti dan juga melembutkan roti. Yis kering adalah yang paling sesuai. Namun anda boleh juga menggunakan yis basah. Mauripan adalah jenama yis yang paling popular di pasaran.
Anda jangan sesekali menggunakan air panas dan mencampurkan yis terlalu lama dengan garam kerana ini akan mematikan yis. Bahan-bahan yang telah dicampur perlu segera diuli supaya yis dapat hidup dan mengembangkan roti semasa merehatkannya nanti.
Namun untuk mempercepatkan pembiakan yis dan pengembangan doh, anda boleh menggunakan air suam. Tapi jangan terlalu panas! Nanti tidak naik pula roti anda. Teknik menguli roti piza adalah dengan menekan doh berkali-kali.
Berikan sedikit tekanan ketika menguli (sekiranya menggunakan tangan) untuk menghasilkan tekstur kenyal pada roti. Doh yang baik tidak terlalu keras dan terlalu lembut. Tambah dan kurangkan tepung atau air jika ia terlalu keras atau terlalu lembut.
Permukaan doh yang diuli akan menjadi semakin licin setelah diuli dan anda bolehlah berhenti menguli kerana itu adalah salah satu tanda yang doh itu sudah cukup diuli.
Sekiranya anda menggunakan biarkan doh diuli selama 15-20 minit dan pastikan mesin penguli itu adalah jenis yang tahan lasak. Selepas itu doh perlu direhatkan.
Sapukan permukaan doh dengan sedikit minyak dan tutup dengan pembungkus (plastic wrap) atau tuala basah agar doh tidak menjadi kering. Biarkan doh selama 30-45 minit atau sehingga ia mengembang dua kali ganda daripada saiz asal.
Selepas itu anda perlu menekan doh yang telah naik supaya udara dapat dikeluarkan dan bahagikan doh itu dan leperkan menjadi kepingan bulat setebal 8-10 cm. Anda boleh meleperkannya mengikut bentuk kesukaan anda.
Letakkan doh yang telah dileperkan di atas dulang pembakar yang telah disapukan minyak. Minyak dapat mengelakkan roti piza melekat setelah siap dibakar nanti. Kemudian, curahkan dan sapukan di atas doh roti yang dileperkan tadi dengan sos piza.
Salah satu keunikan piza adalah pada toppingnya (bahan-bahan yang ditabur di atas piza) kerana anda boleh menggunakan pelbagai jenis bahan mengikut cita rasa anda.
Anda boleh menggunakan bahan-bahan seperti ayam, sosej, pepperoni, tuna dalam tin, sotong, udang dan sebagainya. Selain itu juga anda boleh memberi sedikit kelainan pada rasa piza dengan meletakkan rendang pada toppingnya.
Lihat pelbagai jenis topping piza yang boleh anda buat. Langkah seterusnya yang akan melazatkan lagi piza anda adalah jenis keju yang ditaburkan di atas piza.
Pasti anda pernah melihat dan merasai keju pada piza yang bergetah dan tidak mudah putus apabila kepingan rotinya ditarik. Ini adalah kerana ia menggunakan keju jenis mozzarella.
Keju mozzarella akan menjadi bergetah, kenyal dan tidak mudah kering apabila dibakar. Proses terakhir adalah membakar roti piza yang telah siap di dalam oven sehingga keperangan.
0 comments:
Catat Ulasan