Secara jujurnya saya sebenarnya penggemar nombor satu
Baklava. Jika saya berkunjung ke restoran Arab dan saya dapati restoran itu ada
menjual Baklava pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba Baklava
di restauran itu. Bagi mereka yang menyukai dan
sudah biasa dengan makanan Timur Tengah. Baklava bukanlah sesuatu yang
asing pada mereka. Pada minggu ini saya
akan bercerita tentang baklava. Walaupun resipi asal baklava hanya dimakan
begitu sahaja tetapi saya mengambil inisiatif untuk menukar sedikit cara
persembahan makanan ini dengan mengubah sedikit bentuknya dan menggunakan
buah-buahan beri iaitu strawberi, blueberi dan raspberi. Baklava merupakan
makanan pemanis mulut yang enak dan sangat popular di negara Timur tengah. Ianya
diperbuat daripada kulit pastry phyllo yang dilapis-dilapiskan bersama campuran
kacang. Kemudian ia akan dibakar dan disiramkan dengan sirap sebelum disajikan.
Pastry phyllo adalah kepingan doh yang
nipis dan apabila ia dibakar ia akan menjadi garing. Ia boleh dibuat daripada
doh tetapi dengan perkembangan teknologi pastry phyllo boleh dibeli di pasaraya
yang terpilih.Asal usul manisan ini tidak mempunyai sejarah yang tepat.
Walaupun banyak budaya yang menuntut baklava adalah hak penuh mereka namun ia dikatakan
berasal daripada Turkey kerana baklava telah wujud sejak zaman pemerintahan
kerajaan Uthmaniah lagi di Turkey. Ianya banyak dibuat di dapur istana Sultan semasa
zaman kerajaan Uthmaniah dan Sultan akan mempersembahkan Baklava di dalam
dulang kepada tentera-tentera yang baru dilantik semasa acara pentauliahan
mereka pada hari ke 15 Ramadan dan acara ini dinamakan sebagai Baklava Alayi. Walaupun makanan ini boleh
didapati sepanjang tahun namun ketika musim Ramadan kuih ini menjadi lebih
popular. Tesktur Baklava adalah rangup dan kenyal
terhasil daripada kacang dan kulit pastry Phyllo yang menyerap air gula. Rasa Baklava
ini memang manis kerana menggunakan gula dalam adunan kacang dan ia juga disiram
pula dengan sirap manis. Dalam campuran sirap,lemon atau serbuk kayu manis
dicampurkan untuk memberikan kelainan rasa pada Baklava. Anda boleh
mengurangkan sukatan gula jika tidak suka ia terlalu manis. Baklava biasanya
disediakan dalam dulang yang besar.Setiap lapisan pastry phyllo akan disapukan dengan mentega cair.
Setiap lapisan juga akan diletakkan campuran kacang yang telah dihancurkan
seperti kacang walnut, pistasio dan hazelnut. Anda
boleh menggunakan kacang lain seperti
pecan atau lain lain kacang yang anda suka sebenarnya. Ia terpulang kepada anda.
Selepas itu ia akan ditutup dengan lapisan pastry phyllo yang baru. Banyak
resipi yang menggunakan banyak lapisan kulit pastry Phyllo tetapi ada juga
resipi yang menggunakan hanya di bawah dan diatas sahaja yang menutupi kacang.
Sebelum dibakar lapisan Baklava akan di potong mengikut saiz yang digemari. Selalunya ia berbentuk lozenge (empat
segi serong), empat segi atau segitiga. Kemudian air sirap akan di siramkan
sehingga baklava menyerap air gula itu. Kebiasaannya Baklava akan dihiaskan
dengan serbuk kacang. Ianya lebih sesuai disajikan pada suhu bilik. Membuat
baklava memerlukan sedikit ketelitian kerana anda perlu melapis-lapiskan pastry
phyllo ini. dan ia memakan sedikit masa untuk menghabiskannya. Anda juga perlu
memanggang kacang-kacang yang anda gunakan itu supaya ia memberikan lebih
keenakan dan kerangupan pada kacang itu. Pastikan kacang itu tidak dipanggang
keterlaluan kera na ia akan memberikan rasa pahit pada baklava anda. Jika anda
telah berjaya dan mahir membakar kek, biskut atau pastri-pastri yang lain di
dapur anda apakata anda mencuba pula resipi Baklava yang saya kongsikan ini.
Saya percaya ini akan menambah lagi ilmu dan kemahiran anda dalam bidang pastri
kerana hasilnya pasti lain daripada apa yang pernah anda lakukan dirumah!. Jika
membuat Baklava ini pastikan kulit pastry phyllo anda tidak terlalu lama
terdedah pada udara kerana ia mudah pecah. Tutuplah dengan tuala basah
sepanjang anda melapiskan kulit pastry phyllo ini. Anda boleh menggunakan
dulang yang lebar atau mangkuk untuk membuat Baklava. Akhir kata dari saya
selamat mencuba! Untuk resipi kilik sini.
10 Mac 2013
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
dengan ada buah-buahan itu mungkin dpt mengurangkan sikit rasa manis yg amat sgt itu..
Catat Ulasan