Pages

10 Mac 2013

Keenakan Baklava


Secara jujurnya saya sebenarnya penggemar nombor satu Baklava. Jika saya berkunjung ke restoran Arab dan saya dapati restoran itu ada menjual Baklava pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba Baklava di restauran itu. Bagi mereka yang menyukai dan  sudah biasa dengan makanan Timur Tengah. Baklava bukanlah sesuatu yang asing pada mereka. Pada  minggu ini saya akan bercerita tentang baklava. Walaupun resipi asal baklava hanya dimakan begitu sahaja tetapi saya mengambil inisiatif untuk menukar sedikit cara persembahan makanan ini dengan mengubah sedikit bentuknya dan menggunakan buah-buahan beri iaitu strawberi, blueberi dan raspberi. Baklava merupakan makanan pemanis mulut yang enak dan sangat popular di negara Timur tengah. Ianya diperbuat daripada kulit pastry phyllo yang dilapis-dilapiskan bersama campuran kacang. Kemudian ia akan dibakar dan disiramkan dengan sirap sebelum disajikan. Pastry phyllo  adalah kepingan doh yang nipis dan apabila ia dibakar ia akan menjadi garing. Ia boleh dibuat daripada doh tetapi dengan perkembangan teknologi pastry phyllo boleh dibeli di pasaraya yang terpilih.Asal usul manisan ini tidak mempunyai sejarah yang tepat. Walaupun banyak budaya yang menuntut baklava adalah hak penuh mereka namun ia dikatakan berasal daripada Turkey kerana baklava telah wujud sejak zaman pemerintahan kerajaan Uthmaniah lagi di Turkey. Ianya banyak dibuat di dapur istana Sultan semasa zaman kerajaan Uthmaniah dan Sultan akan mempersembahkan Baklava di dalam dulang kepada tentera-tentera yang baru dilantik semasa acara pentauliahan mereka pada hari ke 15 Ramadan dan acara ini dinamakan sebagai Baklava Alayi. Walaupun makanan ini boleh didapati sepanjang tahun namun ketika musim Ramadan kuih ini menjadi lebih popular. Tesktur Baklava adalah rangup dan kenyal terhasil daripada kacang dan kulit pastry Phyllo yang menyerap air gula. Rasa Baklava ini memang manis kerana menggunakan gula dalam adunan kacang dan ia juga disiram pula dengan sirap manis. Dalam campuran sirap,lemon atau serbuk kayu manis dicampurkan untuk memberikan kelainan rasa pada Baklava. Anda boleh mengurangkan sukatan gula jika tidak suka ia terlalu manis. Baklava biasanya disediakan dalam dulang yang besar.Setiap lapisan pastry phyllo akan disapukan dengan mentega cair. Setiap lapisan juga akan diletakkan campuran kacang yang telah dihancurkan seperti kacang walnut, pistasio dan hazelnut. Anda boleh menggunakan kacang lain  seperti pecan atau lain lain kacang yang anda suka sebenarnya. Ia terpulang kepada anda. Selepas itu ia akan ditutup dengan lapisan pastry phyllo yang baru. Banyak resipi yang menggunakan banyak lapisan kulit pastry Phyllo tetapi ada juga resipi yang menggunakan hanya di bawah dan diatas sahaja yang menutupi kacang. Sebelum dibakar lapisan Baklava akan di potong mengikut saiz yang digemari. Selalunya ia berbentuk lozenge (empat segi serong), empat segi atau segitiga. Kemudian air sirap akan di siramkan sehingga baklava menyerap air gula itu. Kebiasaannya Baklava akan dihiaskan dengan serbuk kacang. Ianya lebih sesuai disajikan pada suhu bilik. Membuat baklava memerlukan sedikit ketelitian kerana anda perlu melapis-lapiskan pastry phyllo ini. dan ia memakan sedikit masa untuk menghabiskannya. Anda juga perlu memanggang kacang-kacang yang anda gunakan itu supaya ia memberikan lebih keenakan dan kerangupan pada kacang itu. Pastikan kacang itu tidak dipanggang keterlaluan kera na ia akan memberikan rasa pahit pada baklava anda. Jika anda telah berjaya dan mahir membakar kek, biskut atau pastri-pastri yang lain di dapur anda apakata anda mencuba pula resipi Baklava yang saya kongsikan ini. Saya percaya ini akan menambah lagi ilmu dan kemahiran anda dalam bidang pastri kerana hasilnya pasti lain daripada apa yang pernah anda lakukan dirumah!. Jika membuat Baklava ini pastikan kulit pastry phyllo anda tidak terlalu lama terdedah pada udara kerana ia mudah pecah. Tutuplah dengan tuala basah sepanjang anda melapiskan kulit pastry phyllo ini. Anda boleh menggunakan dulang yang lebar atau mangkuk untuk membuat Baklava. Akhir kata dari saya selamat mencuba! Untuk resipi kilik sini.

1 comments:

PemilikCahaya berkata...

dengan ada buah-buahan itu mungkin dpt mengurangkan sikit rasa manis yg amat sgt itu..