Resepi ini adalah atas permintaan saudara saya yang bernama Khairul Razmi. Terima kasih atas cetusan idea anda ya! Dan setelah membelek-belek resepi dan bertanya rakan-rakan maka saya olah resepi ini agar bersesuaian dengan citarasa orang tempatan. Kambing memang sesuai dimasak secara panggang dan sekiranya bahan-bahannya diperap dengan lebih lama pasti rasanya lebih enak dan dagingnya bertambah lembut. Resepi ini menggunakan kaskas tetapi sekiranya tidak terdapat kaskas anda tidak perlu menggunakan kaskas. Anda boleh menikmati kambing bakar dengan apa-apa jenis sos seperti air asam, sambal kicap atau sos barbeque tetapi ia mengikut kesukaan masing. Antara sos yang saya cadangkan adalah sos pudina.
Bahan A
2 kg kambing
Bahan-bahan B
100gm bawang merah
60gm bawang putih
60gm halia
4 batang serai
20 gm cili kering/cili boh
200 gm yoghurt
60 gm ketumbar
50 gm jintan putih
40 gm jintan manis
Bahan Bahan C
60 gm serbuk kunyit
30gm serbuk lada putih
50gm madu
Garam secukup rasa
Bahan-bahan untuk sos
250gm krim masam
80gm daun pudina, dihiris halus/cincang
2 sudu teh garam
1 sudu teh gula
Cara-cara penyediaan kambing bakar
- Kisar bahan-bahan B kemudian campurkan dengan bahan-bahan C
- Perap bahan-bahan B dan C dengan kambing dan biarkan sekurang-kurangnya 1 jam atau semalaman.
- Kemudian bakar sehingga kambing masak.
Cara-cara penyediaan sos
- Campurkan semua bahan-bahan untuk sos dan sedia untuk dihidangkan.
0 comments:
Catat Ulasan