16 November 2009

Fettucine sos Bunga Kantan


FETTUCINE adalah sejenis pasta yang berasal dari Itali. Bentuknya leper berlainan dengan spagetti dan pasta yang lain. Pasta diperbuat daripada sejenis tepung yang dinamakan tepung semolina daripada gandum jenis durum.Tepun jenis ini mempunyai tinggi kandungan perotein yang membuatkan tekture pasta ini kenyal dan tidak mudah pecah apabila direbus. Resepi kali ini agak ringkas dan mudah disediakan selain mempunyai lengkap nutrisi yang diperlukan oleh badan. Sumber tenaga utama dibekalkan pasta yang mengandungi karbohidrat.

Ayam pula membekalkan sumber protein utama yang boleh membantu pertumbuhan badan dan tisu dalam badan. Sos untuk pasta selalunya menggunakan asas tomato dan kali ini sedikit sentuhan kelainan diberikan apabila menggunakan sos tomato, sos cili dan bunga kantan. Bunga kantan memberikan sedikit aroma dan rasa tempatan dan uniknya bunga kantan sering digunakan untuk masakan seperti kerabu dan laksa. Bunga kantan mempunyai kandungan beta carotene yang bertindak sebagai anti kanser. Sayur sayuran buah seperti tomato dan lada benggala memberikan vitamin seperti vitamin c, vitamin B lengkap dan mineral.
Tomato daripada sos dan buah tomato terutamanya mengandungi lycopene dimana ia berfungsi sebagai anti-kanser seperti bunga kantan juga. Tomato juga tinggi dengan vitamin A. Sayur-sayuran seperti tomato, lada benggala dan kacang peas juga sangat berkhasiat untuk membekalkan fiber yang baik untuk sistem pencernaan. Resepi ini cukup ringkas dan cepat untuk disediakan dan sesuai untuk orang yang sibuk dan tiada masa yang panjang untuk menyediakan makanan di rumah.

Bahan-bahan
250 gm fettucine
200 gm isi ayam
2 kuntum (70gm)bunga kantan-hiris
1 biji bawang besar-dihiris
3 ulas bawang putih-dihiris
 ¾ cawan sos tomato
¼ cawan sos cili
¼ cawan air
6 biji tomato ceri-dibelah dua
½ biji lada benggala hijau-didadu
4 sudu makan kacang peas
1 ½ sudu makan serbuk keju parmesan
1 sudu makan mentega untuk menggoreng
Garam secukup rasa Minyak untuk menumis

Cara-cara penyediaan
  1. Panaskan air bersama sedikit minyak dan garam. Kemudian masukkan fettucine dan biarkan sehingga fetuccine lembut dan kembang.
  2. Alirkan air pada fettucine yang telah dimasak untuk memberhentikan proses pemasakan.Letakkan di atas pinggan. Ketepikan.
  3. Panaskan kuali dengan mentega dan sedikit minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi dan keperangan.
  4. Masukkan isi ayam dan kacau sehingga ayam masak. Kemudian masukkan bunga kantan dan tumis sehingga layu.
  5. Masukkan sos tomato, sos cili dan air. Kacau sehingga pekat.
  6. Masukkan tomato ceri , lada benggala dan kacang peas. Kacau sehingga sebati. Perisakan dengan garam secukup rasa.
  7. Padam api, sendukkan sos dan curahkan ke atas fettucine.
  8. Taburkan serbuk parmesan diatas fettucine dan sedia untuk dimakan. Penulis dan Chef: Azli Razali Facebook dan Email: azlirazali77@yahoo.com

0 comments: