Pages

09 April 2013

Lobak merah dalam kek



JIKA anda mengatakan lobak merah tidak sesuai membuat kek semestinya anda silap kerana pada minggu ini saya akan menulis tentang kek  lobak merah.  Kek lobak merah menggunakan parutan lobak merah sebagai bahan utama yang dicampurkan dengan adunan kek dan resipi yang saya kongsikan ini sungguh kaya dengan lobak merah dan apabila anda menikmatinya anda akan merasai kelembapan kek ini bersama kacang dan kismis. Menggunakan lobak merah akan menghasilkan kek yang padat dan lembab disamping ia juga akan memberikan warna dan tekstur yang  berbeza. Inilah yang membuatkan kek ini berasa sungguh istimewa. Pasti anda tidak dapat melupakan keenakan kek ini selepas menikmatinya. Mungkin menggunakan lobak merah kedalam kek kelihatan sedikit pelik namun lobak merah yang anda parut akan menjadi lembut dan masak bersama kek ketika ia dibakar didalam ketuhar. Terdapat pelbagai resipi kek lobak merah yang boleh anda cuba dan ada pelbagai juga cara bagaimana untuk membuatnya. Ada resipi yang mecampurkan semua sekali bahan-bahan tanpa memukul mentega terlebih dahulu. Selalunya resipi yang mencampurkan semua bahan  itu adalah menggunakan minyak sayuran dan tidak menggunakan mentega.
     Tekstur kek lobak merah adalah padat, berat dan kasar. Tekstur kek ini menghampiri tekstur muffin dan ia berbeza daripada tekstur kek yang biasa. Bahan lain yang biasa digunakan dalam kek ini adalah seperti nanas, kekacang seperti walnut dan badam. Kek lobak merah boleh dimakan begitu sahaja atau kek ini boleh disapu dengan aising atau topping seperti buttercream dan krim manis. Namun kebiasaannya kek lobak merah akan disapukan dengan topping daripada keju krim  yang dipukul bersama gula aising. Topping krim keju adalah topping yang sangat sesuai dimakan dengan kek lobak merah kerana rasa topping ini dapat menambahkan keenakan kek ini. Kek lobak merah yang diperbuat daripada minyak sayur dan dimakan tanpa topping berlemak sememangnya lebih sihat. Selain itu ia juga sihat kerana mengandungi fiber daripada lobak merah. Kismis yang digunakan dapat mencergaskan minda. Kek lobak merah sungguh popular dibakar menggunakan acuan kek berbentuk empat segi tepat tetapi anda bebas menggunakan apa-apa sahaja bentuk acuan yang anda suka seperti bentuk bulat atau dibakar dalam acuan kek cawan. Asal usul kek lobak merah tidaklah jelas sebenarnya. Ada yang mengatakan ia bermula pada zaman pertengahan dahulu kerana ketika itu harga pemanis sangat mahal maka mereka menggunakan lobak merah yang berasa manis sebagai pengganti pemanis untuk membuat pencuci mulut. Ada juga sumber tidak jelas mengatakan ia berasal daripada Norway. Sumber lain juga mengatakan ia mula popular di Britain semasa perang dunia ke-2. Resipi yang saya kongsikan ini agak menarik kerana saya menggunakan mentega buah zaitun yang tidak mengandungi kolesterol. 
     Menggunakan mentega buah zaitun membuatkan kek ini lebih sihat berbanding menggunakan mentega yang  biasa. Ia mudah dibeli di pasaraya. Walaupun harga mentega ini sedikit mahal tetapi apasalahnya jika berbelanja lebih untuk kesihatan kita sekeluarga kita bukan? Anda boleh gunakan sebarang jenis kekacang yang anda suka seperti walnut, pecan dan sebagainya. Untuk memarut lobak merah, gunakan bahagian pemarut yang kasar untuk memarut lobak merah itu. Saya sertakan sekali resipi topping yang menggunakan keju krim tetapi pada mereka yang inginkan ia lebih sihat nikmatilah kek lobak merah ini begitu sahaja dan tidaklah perlu membuat toppingnya. Jika anda ingin topping yang lebih pekat kurangkan menggunakan krim jadi ia tidaklah begitu cair. Gunakan gula aising untuk membuat topping keju ini dan jangan menggunakan gula kaster kerana gula kaster akan membuatkan tekstur topping keju anda berasa  berpasir. Biarkan kek sejuk dahulu sebelum anda menyapu topping. Jadi cubalah resipi kek lobak merah ini. selamat memcuba! Klik di sini untuk resipi

0 comments: