30 Disember 2011

Buah tangan untuk tetamu

Ini artikel saya dalam ruangan Dari Dapur Azli Razali Utusan Malaysia
Tarikh:30 Disember 2011

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera kepada semua pembaca ruangan ini. Dua hari lagi kita akan melangkah ke tahun 2012. Apabila tiba hujung tahun sahaja pasti ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan majlis keraian.
Lebih-lebih lagi ketika ini kita masih lagi dalam suasana cuti sekolah dan keraian yang paling menonjol orang buat adalah majlis perkahwinan.
Majlis yang diuruskan pasti meriah dengan acara menjamu makan dan memberi buah tangan. Sesetengah orang pasti akan berasa majlis tidak lengkap jika tidak dibekalkan tetamu dengan buah tangan, betul tak?
Kali ini saya ingin bercerita tentang amalan menjamu dan memberi buah tangan kepada tetamu.
Memang sudah menjadi kemestian tidak kira majlis itu kecil-kecilan atau besar orang akan bercakap tentang makanan yang disajikan. Tidak terkecuali topik buah tangan. Ia juga turut akan menjadi cerita jika ada buah tangan dibekalkan.
Pelbagai jenis lauk pauk akan disajikan kepada tetamu dan sebagai tuan rumah yang meraikan majlis kita pasti mahukan makanan yang disajikan itu mendapat pujian daripada tetamu.
Sedap telinga kita dengar jika ada tetamu yang memuji makanan dalam majlis kita itu sedap. Dalam memilih menu anda perlu memilih padanan menu yang lengkap dan sesuai.
Jika anda memilih katering untuk menyediakan makanan lebih baik anda bertanya dan membuat kaji selidik tentang prestasi katering itu.
Dengan itu tanyalah kepada rakan-rakan atau saudara mara kerana mungkin mereka ada beberapa katering yang bagus yang dapat menyediakan makanan yang sedap.
Bermacam-macam buah tangan akan disediakan untuk diberikan kepada para tetamu yang hadir. Selalunya buah tangan ini akan diletakkan di dalam beg kertas atau plastik supaya mudah dipegang dan dibawa.
Ia bergantung juga kepada kemampuan pasangan yang mendirikan rumah tangga. Sebenarnya tidak kira ia mahal atau pun murah apa yang penting keikhlasan untuk memberi.
Makanan merupakan pilihan yang sering dipilih untuk diberikan sebagai cenderahati. Anda boleh memilih apa jenis sekali pun cenderahati sama ada makanan atau pun bukan makanan.
Jika makanan yang dipilih anda boleh memberikan kuih-kuih tradisional seperti baulu, rempeyek atau aneka kek seperti kek buah yang dibungkus kecil-kecil.
Walaubagaimanapun, saya sangat tertarik kepada kek cawan yang diberikan dalam bekas plastik tahan gelombang mikro.
Ini adalah antara pemberian yang juga menjadi kegemaran pasangan mempelai di hari persandingan.
Kek cawan dalam bekas plastik ini bukan sahaja dibuat untuk hari perkahwinan tetapi sesuai dibuat untuk kenduri-kenduri biasa seperti kenduri kesyukuran, berkhatan, cukur jambul dan sebagainya.
Pertama kali melihat kek ini dalam fikiran saya bagaimana mereka boleh membuat kek dalam bekas plastik? Tidak cair ker bekas plastik itu ketika ia dibakar?
Sebenarnya kek yang dimasak dalam bekas plastik itu tidak dibakar di dalam ketuhar tetapi ia dikukus jadi kebanyakan kek cawan plastik sebenarnya adalah kek kukus.
Saiznya tidaklah sebesar mana. Kos membuatnya juga tidaklah mahal. Tetapi anda boleh membuat untung jika anda menjual kek cawan plastik.
Jadi jika anda ingin membuat kek ini untuk dijadikan sebagai perniagaan untuk majlis keraian atau mungkin anda sendiri ingin membuatnya sebagai buah tangan kepada tetamu anda apa kata anda cuba resipi minggu ini.
Tip paling penting membuat resipi minggu ini adalah jangan letakkan adunan lebih dari setengah bekas kerana kek cawan dalam bekas plastik ini perlu ditutup.
Anda boleh menggunakan dua jenis topping yang saya kongsikan mengikut cita rasa anda. Dengan ini saya mengucapkan selamat mengadakan kenduri.

0 comments: