22 Mei 2014

Ayam Percik Sempoi

Ayam percik merupakan juadah tradisioanal melayu yang mempunyai identitinya tersendiri. Ianya menggunakan pelbagai bahan masakan Melayu asli. Untuk pengetahuan anda, sebenarnya ayam percik membawa maksud yang ayam itu akan dipercikkan dengan kuah percik semasa ia dibakar atas pemanggang arang. Dengan percikan kuah yang dilakukan sepanjang proses membakar ayam itu maka rempah-rempah akan meresap dalam ayam dan akan memberikan rasa yang enak bersama  aroma asap salai dalam ayam itu. Menu ini merupakan juadah yang sering juga.saya sediakan apabila balik kampung kerana keluarga saya memang suka makan ayam percik yang saya sediakan.
Namun demikian ayam percik yang saya sediakan adalah mengikut stail saya sendiri. Jika saya menyediakan ayam percik saya akan memasak ayam itu bersama kuahnya sehingga separuh masak dan kemudian barulah ayam itu dibakar sehingga masak dan garing. Ini membuatkan ayam lebih cepat masak. Saya ebih suka membakarnya dalam ketuhar sahaja. Cara yang lebih moden dan cepat. Bukan apa jika membakar menggunakan arang kita perlu sabar luangkan sedikit masa untuk memasang api untuk bara dan perlu sentiasa menunggu ketika membakarnya. Kalau tidak nanti hangus pula ayam itu nanti. Tapi tidak dapat nafikan menggunakan cara tradisonal untuk membakar ayam percik menggunakan arang memang cara terbaik keenakan ayam percik akan lebih terasa kerana arang itu. Jika kita mengunjungi pasar tani atau pasar malam Ayam percik merupakan menu yang pasti dijual di sana. Ayam percik asli akan dibakar dan disajikan bersama sos percik. Kuah percik yang sering kita dapat rasa di pasar malam atau tani selalunya berwarna merah. Namun tahukah anda sebenarnya kuah percik boleh disediakan dengan pelbagai versi. Jika anda ke Kelantan anda akan dapati kuah ayam percik di sana berwarna putih kerana resipi tradisionalnya tidak menggunakan cili kering dan Cuma santan dan bahan-bahan lain sahaja yang dipekatkan.Kuah percik perlu likat dan ia perlu rasa lemak daripada santan segar yang digunakan. Sebaiknya anda perlu menggunakan santan segar kerana jika menggunakan santan segar tekstur akan sedikit pecah minyak dan berkilat. Berbanding mengunakan santan kotak atau serbuk. Jadi pada minggu ini saya kongsikan resipi ayam percik yang dibakar menggunakan ketuhar. Jika anda suka bolehlah dibakar menggunakan arang selamat mencuba!

Ayam percik
Bahan-bahan
1.4 kg ayam-potong sederhana/ kecil
120 gm bawang kecil- dikisar
30 gm halia - dikisar
20gm lengkuas – dikisar
½  inci kunyit-dikisar
40 gm bawang putih - dikisar
3 batang serai - dikisar
5 sudu  makan gula
1 ½  sudu stok ayam serbuk
½  senduk cili mesin
¼ senduk sos cili
4 biji buah keras- dikisar
1 biji santan
Secukup rasa garam

Cara membuat

  1. Tumiskan semua bahan kecuali  santan dan sos cili sehingga wangi. Kemudian masukkan santan, sos cili dan ayam. Biarkan mendidih dan masak ayam sehingga separuh masak.
  2. Asingkan ayam dan bakar dalam ketuhar atau atas  dapur arang. Separuh masa percikkan kuah atas ayam. Kuah yang lebih perlulah dimasakkan sehingga pekat untuk disajikan dengan ayam yang telah dibakar.


4 comments:

sukamkn berkata...

roti sapuan kentang... nice to try

Tanpa Nama berkata...

Nampak mcm istimewa saya nak cuba.

Tanpa Nama berkata...

insya Allah..nak cuba..sedap tu

Mai Has berkata...

boleh try ni.saya dan suami mmg hantu ayam.hahah...