DARI DAPUR AZLI RAZALI di Utusan Malaysia minggu ini membawa anda cerita kontroversi tentang makanan dari negara Perancis ini iaitu Salad Nicoise. Kalau nak tahu lebih lanjut apa yang kontroversi sangat tuh, baca lah artikel saya ini. Jika anda inginkan resipi artikel pada minggu ini pula anda boleh klik di sini !
Ruangan: Dari Dapur Azli Razali
Akhbar: Utusan Malaysia
SALAD Nicoise (disebut niswaz) mendapat nama dari tempat asalnya iaitu Cote d'Azur di kota Nice di Perancis. Ia juga dikenali sebagai Salade Niçoise atau insalata nizzard.
Dikategorikan sebagai pembuka selera. Bahan-bahan untuk membuat salad ini adalah daun salad, tomato, kentang , kacang buncis rebus dan isi ikan tuna dalam tin dan ikan bilis jeruk. Bahan-bahan ini kemudian akan digaul bersama vinegrette.
Walaupun begitu bahan-bahan yang digunakan serta asal usul makanan ini masih menjadi kontroversi dan perdebatan ramai.
Menurut sumber, George Balanchine yang merupakan seorang jurutari terkenal telah memberi inspirasi penciptaan salad ini. Ia diperkenalkan ketika beliau membuat pertunjukan di Monte Carlo. Tetapi ada sumber lain mengatakan salad ini berasal dari kota Provence di Perancis.
Oleh kerana kontroversinya saya mengambil peluang untuk berkongsi bagaimana cara untuk membuat Salad Nicoise ini.
Membuat salad ini sungguh mudah. Anda perlu memilih bahan-bahan yang segar. Ia boleh disimpan di dalam peti sejuk. Semasa merebus kentang, kacang dan telur, sila pastikan ia masak dengan secukupnya. Jangan terlebih atau terkurang merebus kerana ia akan mengurangkan kelazatan salad ini.
Gunakan ikan tuna dalam air bergaram atau dalam minyak sayuran untuk menggaulnya dengan salad ini.
Vinegrette akan digaulkan bersama salad ketika hendak dihidangkan. Vinegrette adalah dressing iaitu sos yang digaul bersama-sama salad. Rasanya sedikit masam dan sedikit berminyak.
Pelbagai jenis perisa vinegrette yang anda boleh buat tetapi asasnya adalah minyak sayuran dan cuka. Tip membuat vinegrette adalah dalam nisbah 3 (minyak sayuran) dan 1 (cuka makanan atau asid) daripada buah sitrus seperti lemon.
Dalam erti kata yang lain sekiranya anda menggunakan tiga cawan minyak anda perlu mencampurkan satu cawan cuka. Kemudian, anda perlu perisakan dengan gula, garam dan lada putih.
Sukatan harus sesuai mencukupi supaya rasa vinegrette tidak terlalu masam dan berminyak. Gunalah minyak zaitun untuk menjaga kesihatan dan saya cadangkan anda menggunakan cuka salad kerana rasanya tidak terlalu tajam dan masam. Jika tidak mahu menggunakan cuka boleh gantikan dengan jus oren atau jus lemon. Ketika hendak menghidang gaulkan vinegrette bersama bahan-bahan lain. Susunkan di atas daun salad dan aturkan telur rebus dan ikan bilis jeruk yang dijual di dalam tin dan boleh dibeli di pasar raya . Nikmatilah salad ini ketika sejuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan