28 April 2013

Peluang kumpul Resipi

Bulan ini merupakan bulan yang sangat sibuk bagi saya. Mana tidaknya sepanjang dua minggu ini saya perlu menyediakan menu untuk puasa dan hari raya untuk dua buah majalah kesayangan ramai iaitu SAJI dan i Sihat.  Saya memang biasa bekerja sama dengan kedua-dua majalah ini. Selain beberapa majalah lain juga. Ramai yang bertanya bagaimana saya boleh terlibat dalam penulisan dan berkongsi resipi di majalah. Sebenarnya ia bermula dari blog saya. Hobi saya yang gemar menulis dan berkongsi resipi di blog telah dapat dihidu oleh Syikin seorang wartawan majalah i sihat. Dari majalah i Sihatlah semuanya bermula. Begitulah ceritanya bagaimana saya boleh melibatkan diri dalam majalah. Kemudiannya saya diperkenalkan dengan majalah-majalah yang lain seperti Saji dan WANITA. Jadi aktiviti dan ukhuwah saya dengan majalah memang tidak pernah putus dan sepanjang dua minggu yang lepas saya sekali lagi diberi kesempatan  untuk menyumbangkan resipi bersama pembaca tetapi untuk edisi keluaran puasa dan hari raya. Kebetulan pada minggu pada waktu itu saya pula telah habis kuliah untuk pelajar-pelajar diploma dan memang sesuai sangat untuk saya menyediakan resipi dan menu bagi sesi fotografi bersama media.
        Oh ya, sebelum saya terlupa. Jangan lupa mendapatkan SAJI keluaran MEI edisi hari ibu kerana pengenalan ruangan saya yang baru ada di situ. Saya kini mempunyai ruangan menulis sendiri di dalam majalah SAJI. Alhamdulillah hobi menulis dan berkongsi resipi saya dapat di kembangkan dalam majalah ini. Ruangan saya itu diberi nama Chill… La bersama Azli Razali. Anda berpeluang membaca tulisan saya dalam ruangan itu setiap bulan bermula keluaran Jun nanti. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada editor SAJI yang saya panggil abang Joha dan semua pasukan SAJI amnya kerana memberi peluang dan percaya dengan kebolehan menulis saya untuk berkarya dalam ruangan saya itu. Jangan ketinggalan dapatkan edisi berkenaan ok!. Mungkin anda rasa sedikit janggal kerana minggu ini saya tidak berceloteh pula tentang makanan bukan?  Janganlah anda berasa begitu. Sengaja saya ingin larikan sedikit konsep tulisan saya yang biasa. Saya telah menulis dalam ruangan Dari Dapur Azli Razali ini selama hampir tiga tahun dan bermacam-macam topik saya kongsikan tentang makanan  tetapi pada minggu ini saya berasa ingin berkongsi dengan anda apa aktiviti saya yang telah saya lakukan pada bulan ini bersama majalah. Saya tahu banyak pembaca ruangan saya ini suka mengumpulkan resipi yang saya kongsikan jadi  janganlah  risau sebab saya tetap akan kongsikan resipi istimewa dengan semua pembaca-pembaca. Celoteh aktiviti saya ini cuma untuk memberikan sedikit kelainan dari penulisan saya yang biasa . Tidaklah anda berasa bosan dengan bentuk tulisan saya yang lebih kurang serupa.  
       Untuk majalah SAJI edisi keluaran puasa nanti, wartawan dan jurugambar SAJI telah turun padang ke rumah saya di Pulau Pinang untuk sesi fotografi sebanyak 10 jenis menu berbuka puasa dan 10 jenis biskut untuk hari raya nanti. Saji akan mengeluarkan edisi khas bumper untuk biskut raya nanti. Belilah edisi bumper biskut raya. Pasti anda akan rugi jika tidak mendapatkannya. Sepanjang minggu itu juga saya berkesempatan untuk membuat sesi fotografi untuk hari raya dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersama chef selebriti terkenal Chef Kamarul yang merupakan teman sekerja saya juga. Pelbagai aksi mood hari raya yang dapat anda saksikan dalam majalah itu nanti. Saya juga berkesempatan menjalankan sesi fotografi untuk ruangan saya Chill.. la bersama Azli Razali di majalah SAJI. Jika ingin tahu lebih lanjut apa aktiviti yang telah saya lakukan untuk tema makanan laut pada bulan Jun nanti, bolehlah dapatkan di pasaran nanti majalah Saji ini! Aktiviti fotografi menu saya bersambung di Nilai dan Bangi seminggu kemudian setelah saya balik bercuti dari Tioman dimana 6 lagi menu istimewa hari raya untuk majalah SAJI telah saya lakukan. Ada beberapa menu yang telah saya ubahsuai agar selera hari raya anda nanti ada kelainannya. Untuk majalah i Sihat pula saya telah mengolah 5 menu buka puasa yang berasaskan sup dan 5 hidangan hari raya yang berasaskan biji-bijiran. Sudah pastinya menu-menu ini menyihatkan sesuai dengan konsep majalah i Sihat. Itulah antara-aktiviti yang telah saya lakukan pada bulan ini untuk persediaan puasa dan hari raya bersama dengan pembaca nanti. Untuk resipi minggu ini saya akan kongsikan satu resipi istimewa. Selamat mencuba!

27 April 2013

Kudap-kudap kacang pecan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa kabar u olll! Sihat2lah hendaknya!Kali ni saya nak share satu resipi kudap-kudapan yang agak menarik untuk kita buat di rumah. Nak tau saya dapat resipi nih kat mana? Biasalah, saya dapat resipi nih kat mana lagik kalau tidak dalam kelas masakan saya bersama student2.  Hari tuh depa buat menu nih untuk kelas komersial!  pastuh saya makanlah sebutir. Mula rasa-rasa, pastuh makan.. makan punya makan tak bleh berenti plak.. sebab sedap. Itu lah penangan kudap2pan ini kalau nak tau! Terus done2 tuh jugak saya suwuh student saya tuh sukat resipi dia jadi standard resipi dan ini lah hasilnya. Untuk buat kudap-kudap nih petua dia adalah bila masak gula tuh dia kena bagi likat sebab kalau tak likat nanti bila kita bakar dalam oven gula tuh tak set dan tak garing. Dia macam kita buat gula untuk kuih keria. 
     Sapa yang pernah buat kuih keria taulah gula dia nak masak sampai camana. Tapi kalau mereka yang tak biasa tuh pastikan gula tuh masak jadi pekat dan buble dia perlahan jer, itu tanda dia dah masaklah gulanya. Mungkin ada yang pelik dengan serbuk cili cayenne tuh kan? maklumlah tak pernah dengar katernya! ishh jangan pelik sangat lah, cayenne tuh adalah jenis cili yang dipanggil Cayenne. So kalau tak jumpa kat pasaraya, guner jer serbuk cili kita yang biasa tuh. habis citer! tapi jangan wisaulah, ada jer jual serbuk cili cayenne tuh yang penting rajin2kan mata korang tuh  meliar carik serbuk nih.hehe! Saya harap anda boleh cuber resipi ini ok! Oklah saya nak sambung makan kudap-kudap nih tak boleh tahan dah nih kang taip panjang2 rugi plak nanti kudap-kudap nih kena bedal plak nanti, nyesal  . Salam semua... cau!

Bahan-bahan
1 cawan kacang pecan
10 sudu besar air
10sudu besar gula
1/2 sudu kecil serbuk cili cayenne

Cara membuat

  1. Masak air, gula dan cili sehingga pekat dan likat kemudian matikan api. 
  2. Masukkan kacang pecan dan gaul.
  3. Alihkan dalam dulang dan jarak-jarakkan kacang pecan
  4. Bakar dalam ketuhar dan bakar dengan suku 170darjah celsius selama 8 minit.

09 April 2013

Kek lobak merah



Bahan-bahan
250gm mentega zaitun/mentega biasa
200gm gula kaster
5 biji telur gred B
180gm parutan lobak merah
1 sudu teh esen vanilla
1 biji oren-parut kulit dan ambil jusnya
60gm kismis
50gm serbuk kacang hazel/badam
70 gm badam cincang/walnut  yang dicincang
260gm tepung naik sendiri


Topping
Bahan-bahan 
200gm keju krim
½ - ¾ cawan krim putar
¾ cawan gula aising


Cara membuat
  1. Pukul mentega dan gula sehingga kembang.
  2. Masukkan telur satu persatu dan kacau sebati.
  3. Masukkan lobak merah,esen vanilla,kismis kulit oren dan jus oren. Kacau sebati.
  4. Kemudian campurkan kismis dengan serbuk kacang hazel, kacang dan tepung
  5. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit di dalam adunan dan kacau sebati.
  6. Masukkan dalam acuan 11inci yang telah disapu dengan sedikit mentega dan bakar dalam ketuhar dengan kepanasan 180 darjah Celsius selama 30minit atau kek tidak melekat pada pencucuk apabila dicucuk.
  7. Untuk   menyediakan topping: Kacau semua bahan-bahan topping sehingga sebati.
  8. Bolehlah disapu atas kek yang telah sejuk.

Lobak merah dalam kek



JIKA anda mengatakan lobak merah tidak sesuai membuat kek semestinya anda silap kerana pada minggu ini saya akan menulis tentang kek  lobak merah.  Kek lobak merah menggunakan parutan lobak merah sebagai bahan utama yang dicampurkan dengan adunan kek dan resipi yang saya kongsikan ini sungguh kaya dengan lobak merah dan apabila anda menikmatinya anda akan merasai kelembapan kek ini bersama kacang dan kismis. Menggunakan lobak merah akan menghasilkan kek yang padat dan lembab disamping ia juga akan memberikan warna dan tekstur yang  berbeza. Inilah yang membuatkan kek ini berasa sungguh istimewa. Pasti anda tidak dapat melupakan keenakan kek ini selepas menikmatinya. Mungkin menggunakan lobak merah kedalam kek kelihatan sedikit pelik namun lobak merah yang anda parut akan menjadi lembut dan masak bersama kek ketika ia dibakar didalam ketuhar. Terdapat pelbagai resipi kek lobak merah yang boleh anda cuba dan ada pelbagai juga cara bagaimana untuk membuatnya. Ada resipi yang mecampurkan semua sekali bahan-bahan tanpa memukul mentega terlebih dahulu. Selalunya resipi yang mencampurkan semua bahan  itu adalah menggunakan minyak sayuran dan tidak menggunakan mentega.
     Tekstur kek lobak merah adalah padat, berat dan kasar. Tekstur kek ini menghampiri tekstur muffin dan ia berbeza daripada tekstur kek yang biasa. Bahan lain yang biasa digunakan dalam kek ini adalah seperti nanas, kekacang seperti walnut dan badam. Kek lobak merah boleh dimakan begitu sahaja atau kek ini boleh disapu dengan aising atau topping seperti buttercream dan krim manis. Namun kebiasaannya kek lobak merah akan disapukan dengan topping daripada keju krim  yang dipukul bersama gula aising. Topping krim keju adalah topping yang sangat sesuai dimakan dengan kek lobak merah kerana rasa topping ini dapat menambahkan keenakan kek ini. Kek lobak merah yang diperbuat daripada minyak sayur dan dimakan tanpa topping berlemak sememangnya lebih sihat. Selain itu ia juga sihat kerana mengandungi fiber daripada lobak merah. Kismis yang digunakan dapat mencergaskan minda. Kek lobak merah sungguh popular dibakar menggunakan acuan kek berbentuk empat segi tepat tetapi anda bebas menggunakan apa-apa sahaja bentuk acuan yang anda suka seperti bentuk bulat atau dibakar dalam acuan kek cawan. Asal usul kek lobak merah tidaklah jelas sebenarnya. Ada yang mengatakan ia bermula pada zaman pertengahan dahulu kerana ketika itu harga pemanis sangat mahal maka mereka menggunakan lobak merah yang berasa manis sebagai pengganti pemanis untuk membuat pencuci mulut. Ada juga sumber tidak jelas mengatakan ia berasal daripada Norway. Sumber lain juga mengatakan ia mula popular di Britain semasa perang dunia ke-2. Resipi yang saya kongsikan ini agak menarik kerana saya menggunakan mentega buah zaitun yang tidak mengandungi kolesterol. 
     Menggunakan mentega buah zaitun membuatkan kek ini lebih sihat berbanding menggunakan mentega yang  biasa. Ia mudah dibeli di pasaraya. Walaupun harga mentega ini sedikit mahal tetapi apasalahnya jika berbelanja lebih untuk kesihatan kita sekeluarga kita bukan? Anda boleh gunakan sebarang jenis kekacang yang anda suka seperti walnut, pecan dan sebagainya. Untuk memarut lobak merah, gunakan bahagian pemarut yang kasar untuk memarut lobak merah itu. Saya sertakan sekali resipi topping yang menggunakan keju krim tetapi pada mereka yang inginkan ia lebih sihat nikmatilah kek lobak merah ini begitu sahaja dan tidaklah perlu membuat toppingnya. Jika anda ingin topping yang lebih pekat kurangkan menggunakan krim jadi ia tidaklah begitu cair. Gunakan gula aising untuk membuat topping keju ini dan jangan menggunakan gula kaster kerana gula kaster akan membuatkan tekstur topping keju anda berasa  berpasir. Biarkan kek sejuk dahulu sebelum anda menyapu topping. Jadi cubalah resipi kek lobak merah ini. selamat memcuba! Klik di sini untuk resipi